KPT Seiring Dengan Pendirian Kerajaan Kepada UN Assistance Mission In Afghanistan (UNAMA) Dalam Bantuan Kepada Pembangunan Afghanistan Melalui Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menerima kunjungan hormat oleh PYT Roza Otunbayeva, Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Afghanistan dan Ketua Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada petang ini.
KPT merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan kakitangan Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) atas bantuan mereka kepada Kerajaan dan rakyat Afghanistan. Kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai bantuan yang dapat diberikan kepada Afghanistan terutamanya kepada pelajar-pelajar wanita. Antara yang dibincangkan adalah beberapa kaedah bagi membolehkan pelajar wanita Afghanistan melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi melalui kaedah Open Distance Learning (ODL).
YB Timbalan Menteri telah memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia melalui KPT telah memperkenalkan Biasiswa Antarabangsa Malaysia (MIS) yang merupakan satu inisiatif untuk mempromosikan institusi pengajian tinggi Malaysia di peringkat global. Melalui MIS, Malaysia menyasarkan untuk mengambil pelajar pasca siswazah yang berprestasi tinggi dan cemerlang untuk belajar di 20 universiti awam dan 4 universiti berkaitan Kerajaan di Malaysia. Biasiswa ini meliputi yuran pengajian dan elaun bulanan dan kini ditawarkan kepada pelajar daripada 85 buah negara termasuk Afghanistan.
Dalam masa yang sama, KPT juga berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan inklusiviti dalam pendidikan tinggi yang berfokuskan kepada tiga (3) prinsip utama iaitu akses, inklusif dan kualiti meliputi semua kaum, jantina dan juga golongan rentan.
Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), YBrs. Profesor Dr. Zainal Amin bin Ayub; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah binti Omar; serta pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan dan agensi.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 249