TKSU (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT Pengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Politeknik Dan Kolej Komuniti

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md. Amir telah mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (MPPKK) Bil. 4/2024 yang berlangsung di Kolej Komuniti Selayang siang tadi.
Mesyuarat ini bertujuan untuk menilai prestasi pelaksanaan projek pembangunan di kesemua institusi Politeknik dan Kolej Komuniti serta memastikan hala tuju strategik untuk tahun 2025.
Dalam mesyuarat tersebut, YBhg. Datuk Mohamad Azhan menekankan kepentingan pemantauan projek secara berkala bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang sedang berjalan serta perancangan projek baharu di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk memastikan pematuhan terhadap sasaran kewangan dan jadual pelaksanaan.
Sebelum mesyuarat, beliau turut melawat beberapa fasiliti di Kolej Komuniti Selayang, termasuk Game Labs, White Studio, Drawing Studio, VR Hub, dan XR Alive (5D Cinema).
Lawatan ini bertujuan meninjau kemajuan pembangunan dan infrastruktur sokongan yang disediakan untuk pelajar dan tenaga pengajar.
Sebagai tambahan, YBhg. Datuk Mohamad Azhan turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak atas usaha memastikan projek pembangunan berjalan lancar sepanjang tahun 2024 ini.
Beliau juga menggesa agar perolehan sistem Wi-Fi kampus yang dirancang bagi 2025 dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Mesyuarat diakhiri dengan perbincangan berkaitan perancangan projek penyelenggaraan fasiliti untuk tahun hadapan, sebagai usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi di negara ini.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 342