KPT Perkukuh Peranan TVET: YB Menteri Tinjau Keberhasilan Kolej Komuniti Tambunan

KPT Perkukuh Peranan TVET: YB Menteri Tinjau Keberhasilan Kolej Komuniti Tambunan

Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir melaksanakan sesi lawatan kerja ke Kolej Komuniti Tambunan sebagai sebahagian usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menilai keberkesanan pelaksanaan program TVET, pembangunan akademik serta inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di Sabah.

Lawatan ini merupakan kesinambungan siri tinjauan beliau ke kolej-kolej komuniti di seluruh negara bagi memastikan hala tuju TVET kekal relevan dengan keperluan industri dan komuniti setempat.

Ketibaan YB Menteri disambut mesra oleh Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah bersama barisan Pengarah POLYCC Zon Sabah, pihak pengurusan kolej, warga kerja, pelajar serta peserta PSH.

Dalam sesi taklimat yang disampaikan kepada YB Menteri, pihak kolej membentangkan perkembangan akademik semasa, pencapaian pelajar, jaringan kerjasama industri, serta pelaksanaan PSH yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Terdahulu, YB menteri dibawa melawat ke ruang pameran yang menampilkan hasil projek dan produk TVET merangkumi bidang automotif, agroteknologi dan pelancongan yang menjadi kekuatan kolej. Menurut YB Menteri, program yang ditawarkan di kolej komuniti perlu mempunyai nilai pasaran dan selaras dengan keperluan setempat.

Beliau menegaskan bahawa penawaran kursus seperti pelancongan, automotif dan agroteknologi di Kolej Komuniti Tambunan membantu meningkatkan impak ekonomi tempatan dan memastikan pelajar memperoleh kemahiran bersesuaian dengan peluang pekerjaan yang tersedia dalam ekosistem industri Sabah.

Dalam sidang medianya, YB Menteri turut menekankan keperluan menilai semula dasar penyediaan asrama bagi kolej komuniti, khususnya di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak. Beliau menjelaskan bahawa peningkatan minat pelajar menyertai program sijil dua tahun memerlukan kemudahan tempat tinggal yang lebih teratur, memandangkan kebanyakan pelajar kini terpaksa menyewa kediaman di sekitar kampus.

Susulan itu, JPPKK diharapkan dapat melakukan penilaian menyeluruh terhadap kolej komuniti yang menunjukkan keperluan kritikal bagi penyediaan asrama berdasarkan peningkatan enrolmen, fungsi strategik serta peranannya dalam menyediakan akses pendidikan kepada komuniti luar bandar.

Dalam lawatan sama, YB Menteri turut menyatakan kebanggaan terhadap pencapaian kolej komuniti yang berjaya mencapai kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus. Pencapaian ini menunjukkan keberkesanan kurikulum, kekuatan latihan industri serta keyakinan majikan terhadap graduan TVET yang dilahirkan oleh Kolej Komuniti Tambunan dan institusi seumpamanya.

Kolej Komuniti Tambunan, selaku institusi yang menawarkan program berasaskan kemahiran dan PSH tanpa had umur, kekal komited menyokong agenda nasional dalam memperluas akses pendidikan serta meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar melalui pendidikan sepanjang hayat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 712
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim