Kurikulum Pengajian Islam Perlu Anjakan Seiring Cabaran Ai Dan Digital
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) siang tadi.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menggariskan kerangka MADANI yang menuntut kemajuan berpacu pantas "menggapai di langit" seperti AI dan digital, namun mesti kekal "mengakar ke bumi" pada teras akidah, akhlak, dan sahsiah.
YAB Perdana Menteri pada masa yang sama, menggesa institusi pengajian pondok dan fakulti pengajian Islam untuk turut menerima disiplin baharu seperti AI, digital, dan alam sekitar agar tidak ketinggalan yang seterusnya kekal berperanan sebagai benteng pertahanan umat.
Terdahulu, dalam Sidang Kepimpinan Ilmuwan Islam di sebelah pagi, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah menyampaikan ucaptama bertajuk “Inovasi Teknologi sebagai Pemangkin Dakwah dan Pengajian Islam Masa Depan”.
Dalam ucaptamanya, beliau menggariskan iltizam Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mentransformasikan bidang Pengajian Islam bagi memastikan ia kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran era moden.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa persepsi lapuk yang menganggap bidang Pengajian Islam tidak mempunyai nilai pasaran yang tinggi mesti diubah melalui transformasi kurikulum.
Beliau menekankan bahawa matlamat utama pendidikan tinggi bukanlah semata-mata untuk pasaran kerja, tetapi untuk membina manusia seutuhnya menerusi proses pembinaan adab.
Kementerian berhasrat melahirkan graduan bersifat
berpengetahuan ensiklopedik yang menguasai ilmu agama secara mendalam di samping pakar dalam bidang sains atau teknologi, mencontohi tokoh hebat tamadun Islam seperti Ibnu Sina.
KPT turut memperkasa agenda TVET dalam kalangan pelajar tahfiz, dan program Tahfiz Politeknik membuktikan golongan huffaz mampu menyerap ilmu teknikal serta kejuruteraan dengan pantas.
Beliau menggesa graduan meneroka bidang baharu seperti industri halal global yang bernilai trilion dolar, disokong melalui program pentauliahan mikro (micro-credential) untuk kemahiran tambahan.
YB Menteri turut menyentuh cabaran "guru-guru baru" seperti Chat GPT, dan menekankan tanggungjawab sarjana Islam untuk terlibat memasukkan nilai dan kandungan yang benar ke dalam teknologi tersebut.
Beliau turut menyarankan semua IPTA mengamalkan konsep nexus, iaitu berkongsi kepakaran antara universiti, dan tidak bersaing antara satu sama lain dalam penawaran kursus.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Haji Mokhtar; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Pengerusi Lembagai Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dr. Mohamad Abd. Razak; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor: dan Dekan Fakulti Pengajian Islam merangkap Pengarah Konvensyen, Dato’ Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 657