KPT Lestarikan Budaya Kerja Sepasukan Dan Ilmu Dalam Perhimpunan Bulanan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menekankan kepentingan budaya kerja sepasukan sebagai kunci utama kejayaan dan kekuatan sesebuah organisasi.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menyeru agar semua warga KPT bekerja secara kolektif dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Beliau menyampaikan amanat tersebut sempena sesi dialog santai yang dikendalikan oleh Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli di Program Perhimpunan Bulanan KPT bagi November 2025 yang diadakan di Dewan Za'ba KPT petang tadi.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyatakan bahawa kejayaan KPT dalam tempoh dua (2) tahun ini mula dirasakan dengan peningkatan keterlihatan yang jelas di mata masyarakat serta para pemimpin sektor pendidikan tinggi serantau.
Antara kejayaan besar yang disorot adalah penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 yang mendapat sambutan luar biasa daripada 550,000 kehadiran fizikal dan 1.55 juta penyertaan maya.
Program Putrajaya FOI 2025 telah menjadi penanda aras, malah dicadangkan oleh Setiausaha Agung ASEAN untuk dijadikan acara tahunan ASEAN.
KPT turut mencatatkan kejayaan dengan memenangi Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2025 secara keseluruhan, dan YB Menteri turut menyampaikan trofi Anugerah Pembangunan Negara 2025 yang telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri minggu lalu selaku Kementerian terbaik.
Dalam pada itu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyokong inisiatif Telaah sebagai usaha untuk membudayakan ilmu dan membaca dalam kalangan warga KPT, tanpa mengira pangkat dan umur.
Beliau menyatakan bahawa pembudayaan membaca adalah amat penting bagi sebuah kementerian yang namanya berorientasikan ilmu pendidikan tinggi.
Dalam agenda pengantarabangsaan, KPT mengumumkan pelantikan tiga (3) orang sarjana sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua (2) tahun bermula 1 Disember nanti yang telah menerima watikah pelantikan pada majlis yang sama petang tadi.
Penyandang tersebut termasuk Prof. Dr. Shahanum Md. Shah di Kursi Tun Abdul Razak, Ohio University, Amerika Syarikat; Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid di Kursi Pengajian Malaysia, Victoria University of Wellington, New Zealand; dan Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid di Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, Beijing Foreign Studies University, China.
Perhimpunan Bulanan KPT bagi November 2025 tadi turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi kementerian.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 633