KPT Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama Kerajaan Negeri Johor, Perkasa Agenda Pendidikan Tinggi

15 Mei 2026 | Iskandar Puteri, Johor
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan agenda pendidikan tinggi termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergerak selari dengan keperluan pembangunan wilayah.
Kunjungan Hormat YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi semalam di Johor Talent Development Council (JTDC), Iskandar Puteri, Johor ini menfokuskan kepada pembentangan dasar pendidikan tinggi, kerjasama strategik serta pembangunan IPT di negeri Selatan tanah air itu.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 telah dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, dengan fokus melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Menurut YB Menteri, Johor merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam usaha membangunkan bakat apabila menjadi negeri pertama di Malaysia dengan menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC). Jelasnya model ini juga boleh diaplikasikan di negeri-negeri lain.
Turut dibentangkan adalah maklumat projek pembangunan IPTA di Johor. Di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), RMKe-13 Tahun 2026, sebanyak 47 projek telah diluluskan bagi melaksanakan projek-projek Pembangunan melibatkan Universiti Awam (33 projek), Politeknik dan Kolej Komuniti (14 projek) di seluruh Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM418.2 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 projek baharu telah diluluskan melibatkan 2 projek Politeknik, 3 Kolej Komuniti dan 17 projek Universiti Awam.
Beberapa Universiti Awam (UA) turut membentangkan perancangan projek dan program termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Turut bersama dalam kunjungan ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah, Naib-Naib Canselor UA serta delegasi kedua-dua Kementerian dan Kerajaan Negeri.
- Last updated on .
- Hits: 34
