APC JPPKK Tahun 2025: TVET POLYCC Pemangkin Utama Ekonomi Berpendapatan Tinggi

APC JPPKK Tahun 2025: TVET POLYCC Pemangkin Utama Ekonomi Berpendapatan Tinggi

15 Mei 2026 | Putrajaya

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus memainkan peranan strategik sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi negara selaras dengan keperluan pasaran kerja serta aspirasi pembangunan nasional.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa TVET merupakan solusi efektif dalam mendepani cabaran ketidakpadanan kemahiran yang semakin ketara dalam landskap pekerjaan semasa, khususnya melibatkan sektor industri berteknologi tinggi dan berimpak besar.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.

Majlis berkenaan dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada seramai 1,107 orang warga kerja JPPKK yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Turut diraikan ialah dua (2) penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa mereka kepada perkhidmatan awam serta pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.

Dalam ucapannya, YB Dato' Diraja Dr. Zambry menyeru seluruh warga politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) agar terus berinovasi, meningkatkan kompetensi serta memperkukuh keupayaan institusi bagi menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Menurut beliau, POLYCC perlu terus diperkasa sebagai institusi pilihan yang mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing serta relevan dengan kehendak ekonomi masa hadapan.

Penganjuran majlis ini turut menjadi platform penting dalam menghargai sumbangan warga JPPKK yang menjadi tulang belakang dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara melalui penyampaian pendidikan TVET yang berkualiti, inklusif dan responsif.

Majlis tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memupuk budaya kecemerlangan, integriti dan profesionalisme dalam kalangan warga kerja demi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal cekap serta berprestasi tinggi.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia KPT, Azhar Mohamad Yusof; serta para pengarah POLYCC. 

  • Last updated on .
  • Hits: 38
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 18 Mei 2026, 07:37:03.

logo-sirim