Transformasi TVET KPT: Ubah Persepsi Masyarakat, POLYCC Bukan Lagi Laluan Pilihan Kedua

15 Mei 2026 | Shah Alam, Selangor
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang membina semula ekosistem pendidikan tinggi negara dengan menjadikan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) sebagai enjin utama pembangunan bakat nasional, bukan lagi sekadar pelengkap kepada universiti semata-mata dalam melahirkan tenaga mahir, teknokrat, inovator dan pemimpin industri masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, transformasi menyeluruh terhadap sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan bagi mengubah persepsi masyarakat bahawa POLYCC bukan lagi laluan pilihan kedua.
Menurut beliau, institusi politeknik perlu dilihat sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi teknikal yang mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi serta memenuhi keperluan strategik negara dan industri global.
Beliau berkata demikian ketika sesi Townhall Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 Zon Tengah POLYCC anjuran bersama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini petang tadi.
Katanya, sistem pendidikan tinggi negara tidak boleh dipisahkan antara universiti, politeknik dan kolej komuniti kerana ketiga-tiganya merupakan sebahagian daripada ekosistem nasional yang saling melengkapi dalam pembangunan modal insan.
Sehubungan itu, KPT sedang meneliti peluasan fungsi politeknik daripada penawaran sijil dan diploma kepada program ijazah, sarjana dan doktor falsafah tanpa menjejaskan identiti TVET yang menjadi kekuatan utamanya.
Dalam masa sama, laluan kerjaya pensyarah dan pentadbir POLYCC turut diberi perhatian termasuk isu kenaikan gred, peluang pembangunan profesional, pengiktirafan akademik serta struktur perjawatan yang lebih progresif untuk bakat muda.
Beliau turut menegaskan bahawa graduan TVET perlu menerima pengiktirafan setara dengan laluan akademik konvensional termasuk melalui kesetaraan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pemindahan kredit dan akses kepada gaji premium yang kompetitif.
Kerjasama strategik bersama industri melalui pendekatan Work-Based Learning (WBL), 2U1I, 2U2I serta Learn and Earn juga akan terus diperkukuh bagi memastikan graduan mendapat pengalaman sebenar di lapangan dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
KPT turut memberi penekanan kepada peluasan laluan pendidikan fleksibel termasuk program Tekno Huffaz dan integrasi pendidikan tahfiz dengan TVET bagi memastikan lebih ramai pelajar berbakat mendapat peluang membina kerjaya profesional.
Beliau berkata, pendekatan pendidikan tinggi negara perlu bersifat anjal, inklusif dan berpaksikan potensi pelajar agar tiada bakat tercicir, termasuk mereka yang bermula dari kolej komuniti sebelum melanjutkan pengajian ke politeknik dan universiti teknikal.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Harun; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; serta barisan pengarah POLYCC Zon Tengah.
- Last updated on .
- Hits: 58
