KPT Perkasa Pendidikan Tinggi Melalui 'Wahdatul Fikir' Dan Reformasi Struktur Yang Inklusif

9 Februari 2026 | Parlimen, Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini memperincikan pelan komprehensif reformasi pendidikan tinggi negara yang berteraskan prinsip Wahdatul Fikir atau kesatuan fikiran, merangkumi aspek akademik, kebajikan pelajar, penyelidikan, serta kerangka perundangan universiti.
Berucap semasa sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang dilancarkan baru-baru ini tidak memecahkan dasar pendidikan negara, sebaliknya memperkukuh kesinambungan antara pendidikan asas dan pendidikan tinggi.
"Dalam pendidikan tinggi khususnya, kesatuan fikiran ini diterjemahkan melalui proses perungkaian atau unbundling education. Kita memperkenalkan empat (4) kuadran utama iaitu pendekatan tradisional, perubahan marginal, perubahan adaptif, dan perubahan radikal yang membolehkan pembelajaran sepanjang hayat berlaku di luar kampus dan diiktiraf industri," jelas beliau.
📌 AKSES PENDIDIKAN UNTUK SEMUA
Menyentuh mengenai keterbukaan akses pendidikan, YB Menteri mengesahkan komitmen kementerian terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan pelaksanaan pengecualian yuran pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Inisiatif ini disokong oleh penubuhan Unit Perkhidmatan OKU dan garis panduan inklusif di setiap institusi.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai kemasukan pelajar daripada aliran bukan kurikulum kebangsaan seperti sekolah tahfiz, sekolah persendirian Cina, dan sekolah antarabangsa ke IPTA.
Tegas beliau, syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal sebagai dasar utama, namun libat urus sedang giat dijalankan untuk memetakan kurikulum mereka agar transisi ke IPTA berjalan lancar.
📌 ISU AUKU DAN AUTONOMI MAHASISWA
Menjawab isu mengenai tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyatakan sikap terbuka kementerian.
"Kita menghormati idealisme perjuangan mahasiswa. Namun perlu difahami bahawa AUKU adalah punca kuasa tunggal penubuhan 18 universiti awam. KPT sedang mempertimbangkan untuk membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih sesuai dengan zaman, di mana definisi kebebasan pelajar kini beralih kepada pembentukan jati diri kendiri," katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Menteri mempunyai kuasa mutlak dalam melantik Naib Canselor, menjelaskan bahawa proses tersebut melalui saringan ketat pelbagai peringkat jawatankuasa sebelum diputuskan.
📌 REFORMASI PRA-UNIVERSITI DAN PENYELIDIKAN
Mengenai pemindahan program Tingkatan Enam dan Matrikulasi ke bawah KPT, beliau memberi jaminan bahawa kebajikan guru akan terpelihara di bawah prinsip no less favorable dan kuota Bumiputera bagi Matrikulasi akan dikekalkan. Sebuah Jawatankuasa Pemandu Bersama antara KPM dan KPT telah turut ditubuhkan untuk menguruskan transisi ini.
Beliau turut menekankan pemerkasaan ekosistem penyelidikan melalui University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 yang bakal dianjurkan untuk menarik pelaburan swasta ke dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) universiti, sejajar dengan visi menjadikan universiti sebagai Brain of the Nation.
Di akhir ucapan, beliau mengumumkan persetujuan dasar kerajaan terhadap cadangan pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan lapangan terbang latihan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang bakal merancakkan lagi fasiliti pendidikan negara.
- Last updated on .
- Hits: 109
