Warga KPT Sahut Seruan Perdana Menteri Kukuh Perpaduan Demi Keutuhan Negara

9 Februari 2026 | Putrajaya
Penerapan nilai perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat merupakan prasyarat mutlak bagi menjamin kelangsungan sistem dan keamanan negara demi memacu pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekayaan hasil mahsul negara semata-mata tidak mampu menjamin kebahagiaan sekiranya perseteruan antara kaum terus berlaku.
Amanat penting itu telah disampaikan oleh beliau sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara yang turut disiarkan secara langsung kepada warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Za’ba, Putrajaya yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Beliau menyeru seluruh penjawat awam termasuk warga pendidikan tinggi untuk menerima hakikat perbezaan budaya dan agama sebagai satu kenyataan yang perlu diurus dengan bijaksana tanpa mencetuskan perpecahan.
Mengambil iktibar daripada sejarah "Perang 30 Tahun" di Eropah, YAB Perdana Menteri mengingatkan bahawa konflik berasaskan kefahaman agama boleh meragut puluhan juta nyawa jika tidak dibendung.
Dalam konteks pentadbiran, beliau menekankan bahawa sebarang pembinaan rumah ibadat atau struktur mesti mematuhi jalur hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Isu-isu sensitif seperti pencerobohan tanah untuk tujuan keagamaan atau isu penternakan perlu diselesaikan melalui rundingan yang baik dan bukan dengan menyemarakkan api kebencian.
Warga KPT turut diseru untuk meneladani sifat Rasulullah SAW yang sentiasa mempamerkan akhlak mulia dan menghormati nilai kemanusiaan walaupun terhadap mereka yang berbeza pegangan.
KPT komited menyahut seruan ini dengan memastikan institusi pendidikan tinggi kekal sebagai zon bebas daripada anasir ekstremisme dan perkauman sempit.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato' Haslina Abdul Hamid.
- Last updated on .
- Hits: 84
