KPT Lancar ISAC: Pusat Ketibaan Pelajar Dalam Lapangan Terbang Pertama Di Dunia

10 Februari 2026 | KLIA, Sepang
Komitmen Malaysia untuk muncul sebagai hab pendidikan tinggi global terulung diperkukuh dengan pelancaran rasmi Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Inisiatif strategik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan satu-satunya fasiliti seumpamanya di dunia yang ditempatkan secara fizikal di dalam terminal lapangan terbang khusus bagi menyantuni dan memudahkan urusan pelajar antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pelancaran pusat itu menandakan pencapaian signifikan kerajaan dalam memudah cara proses kemasukan pelajar asing ke negara ini secara lebih sistematik.
Beliau menjelaskan bahawa fasiliti yang dikendalikan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) itu berperanan memastikan proses imigresen dan ketibaan pelajar berjalan lancar serta selamat seawal mereka mendarat sebelum melepasi pintu imigresen.
"ISAC adalah manifestasi kepada prinsip hospitaliti negara dan konsep 'Malaysia Prihatin'. Tanggapan pertama atau first impression adalah kritikal bagi membina keyakinan pelajar bahawa mereka dialu-alukan di sini.
"Pusat ini bukan sekadar membuka pintu fizikal, tetapi membuka pintu kepada peluang dan persahabatan. Kita mahu pelajar berasa selamat dan seolah-olah pulang ke rumah sendiri sebaik tiba dari perjalanan jauh," katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Bagi menampung waktu ketibaan yang tidak menentu, ISAC beroperasi sepenuhnya 24 jam sehari, tujuh (7) hari seminggu termasuk pada cuti umum bagi memastikan tiada pelajar yang terlepas daripada mendapat bantuan sewajarnya.
Setakat ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 150,000 pelajar antarabangsa dari 160 buah negara, dengan statistik menunjukkan ISAC menerima kunjungan lebih 80 peratus daripada pelajar yang baru mendaftar masuk ke Malaysia.
Dalam pada itu, Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie memaklumkan bahawa pada waktu puncak seperti bulan September, pusat berkenaan mampu menguruskan ketibaan lebih 10,000 pelajar termasuk penyediaan pek permulaan ketersambungan digital.
Kejayaan penubuhan ISAC di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 adalah hasil kolaborasi erat antara KPT, Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abdul Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; serta Pengurus Besar Kanan Operasi KLIA, Abdul Hasman Abdul Muhimmin.
- Last updated on .
- Hits: 110
