5 UA Gembleng Kepakaran Perkasa Sosioekonomi Komuniti Pangkor

10 Februari 2026 | Pulau Pangkor, Perak
Usaha merakyatkan hasil penyelidikan dan inovasi universiti terus menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan manfaat ilmu dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah turun padang menyaksikan keberkesanan inisiatif ini menerusi lawatan kerja rasmi ke tapak projek komuniti di sekitar Pulau Pangkor pada Ahad lalu.
Program Pembangunan Komuniti MADANI ini telah digerakkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui kerjasama strategik lima (5) buah Universiti Awam (UA), iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memindahkan teknologi dan kepakaran mereka kepada penduduk tempatan.
Objektif utama program adalah untuk menyokong aspirasi KPT dalam menterjemahkan kepakaran akademik kepada penyelesaian praktikal bagi pembangunan komuniti.
Antara projek inovasi yang ditonjolkan termasuklah teknologi pengeringan ikan dan penanaman cendawan yang dipelopori oleh penyelidik daripada UiTM.
Selain itu, UMT turut berkongsi kepakaran melalui projek Keusahawanan Madu Kelulut manakala UPM memperkenalkan teknologi baja kompos kepada penduduk kampung.
YB Menteri bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman turut meluangkan masa menyantuni peserta projek dan melihat sendiri impak positif pemindahan ilmu tersebut pada hari kejadian.
Kemuncak lawatan telah disempurnakan dengan perasmian Program Pembangunan Komuniti MADANI di Dewan Arena Terbuka Kampung Masjid yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir para Naib Canselor UA; Pegawai Daerah Manjung,Shamsul Ridzuan Idris; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail; dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Muhammad Faizal Shah Safian Suri.
- Last updated on .
- Hits: 44
