KPT Perkasa Pemimpin Muda IPTS Sebagai Rakan Strategik Pembentuk Masa Depan Pendidikan Tinggi Negara

KPT Perkasa Pemimpin Muda IPTS Sebagai Rakan Strategik Pembentuk Masa Depan Pendidikan Tinggi Negara

25 Februari 2026 | Shah Alam, Selangor

Penglibatan inklusif tenaga pengajar muda Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) sebagai rakan strategik Kerajaan adalah kunci utama bagi memacu ekosistem pendidikan tinggi negara ke persada antarabangsa yang mampan.

Sejajar dengan wawasan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah melebarkan inisiatif Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 kepada IPTS bagi Zon Tengah di Management and Science University (MSU) di kampus utamanya di sini petang semalam.

Pertemuan julung-julung kali yang menghimpunkan para akademik dan pentadbir muda itu diserlahkan melalui sesi dialog interaktif bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bagi merungkai realiti baharu landskap pendidikan tinggi kebangsaan secara dua hala.

Beliau menegaskan kebersamaan IPTS amat kritikal kerana pasaran pelajar kini bersifat global dengan kemasukan lebih 155,000 penuntut luar, lantas Kementerian memudah cara proses ini menerusi platform Education Malaysia Global Services (EMGS) serta pewujudan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan pertama seumpamanya di dunia.

Beliau turut menyoroti keperluan pengukuhan kualiti akademik rentas sektor dengan menggesa warga pendidik memaksimumkan baki dana penyelidikan KPT khusus buat institusi swasta yang berjumlah RM38.1 juta bagi merapatkan jurang inovasi di antara universiti awam dan IPTS.

Pengisian program berimpak tinggi ini juga menuntut para pemimpin muda agar menolak sikap prejudis serta membudayakan nilai tata kelola cemerlang sejajar dengan perbahasan forum Stepping into Leadership: Conversation on Challenges, Courage & Change yang dikendalikan oleh barisan tokoh akademik sebelum sesi dialog berlangsung.

Warga IPTS juga disyorkan supaya pantas beradaptasi dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam tugasan penerbitan di samping mengoptimumkan ruang Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) tanpa membelakangi piawaian kelayakan antarabangsa yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Usaha bersepadu menjiwai semangat kepimpinan berteraskan Malaysia MADANI ini membuktikan kesungguhan KPT dalam menggali pandangan warga pendidik sewaktu merangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bagi tempoh sedekad akan datang yang melibatkan maklum balas daripada lebih 8,000 pemegang taruh.

Selesai sesi dialog, kesemua peserta diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa bersama-sama Ketua Setiausaha PT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran; dan Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid. 

  • Last updated on .
  • Hits: 340
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 12 Mac 2026, 11:58:06.

logo-sirim