Krisis Global Jadi Iktibar: YB Menteri Ajak Warga MSU Hayati Erti Kemanusiaan Sempena Ramadan

25 Februari 2026 | Shah Alam, Selangor
Selesai berbuka puasa bersama para peserta Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 kepada IPTS bagi Zon Tengah, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif Ihya Ramadan 2026 anjuran tuan rumah, Management and Science University (MSU) di sini malam semalam.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa krisis kemanusiaan antarabangsa seperti yang melanda Gaza, Palestin wajar dijadikan iktibar oleh warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk terus memperkukuh nilai perpaduan dan kasih sayang sejagat.
YB Menteri turut merakamkan penghargaan atas pencapaian cemerlang 40 tahun penubuhan IPT swasta berkenaan yang bukan sahaja berjaya melahirkan graduan bertaraf global, tetapi juga kekal istiqamah menyumbang bakti kepada masyarakat.
Meneruskan agenda kebajikan di bulan mulia tersebut, beliau kemudiannya telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan zakat daripada MSU kepada para pelajar asnaf serta golongan yang memerlukan di kampus berkenaan.
Kehadiran barisan kepimpinan Kementerian turut disambut meriah menerusi sesi ramah mesra dan swafoto bersama barisan pelajar antarabangsa yang teruja meraikan keharmonian silang budaya di bawah satu bumbung.
Bagi mengimarahkan lagi malam Ramadan tersebut, YB Menteri telah mendirikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama-sama para pelajar, warga pengurusan MSU, serta peserta program KARISMA bertempat di Pusat Kebudayaan Islam (ICC) universiti.
Penganjuran majlis seumpama ini memancarkan komitmen utuh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha memupuk keseimbangan di antara kecemerlangan tadbir urus akademik dan keluhuran sahsiah rohani.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.
- Last updated on .
- Hits: 227
