Pendekatan Santai KPT Rapatkan Ukhuwah, Menteri dan Timbalan Berbuka Puasa Bersama Para Mahasiswa di UiTM

Pendekatan Santai KPT Rapatkan Ukhuwah, Menteri dan Timbalan Berbuka Puasa Bersama Para Mahasiswa di UiTM

24 Februari 2026 | Shah Alam, Selangor

Kesungguhan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyantuni suara mahasiswa tidak terhenti di dewan perbincangan, sebaliknya diteruskan menerusi majlis berbuka puasa di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Malam semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Timbalannya, YB Tuan Adam Adli Abd Halim telah meluangkan masa menikmati juadah iftar bersama ratusan pimpinan pelajar yang berkampung di universiti tersebut.

Agenda libat urus secara santai itu diadakan sebagai pelengkap kepada kelangsungan Program Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa RPTM 2026-2035 yang berlangsung dengan jayanya sebelum itu.

Kedua-dua pemimpin tertinggi Kementerian itu kemudiannya bersama-sama saf jemaah yang lain menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bagi memuliakan malam yang penuh keberkatan.

Selesai menunaikan ibadah, para kepimpinan tinggi KPT memanfaatkan waktu jamuan moreh untuk bertegur sapa, bergambar, serta beramah mesra dengan barisan pewaris kepimpinan negara itu.

Pendekatan komunikasi serampang dua (2) mata ini secara tidak langsung mencerminkan keterbukaan pihak Kementerian dalam menjalinkan keakraban yang amat berharga bersama mahasiswa. 

  • Last updated on .
  • Hits: 241
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 13 Mac 2026, 07:36:41.

logo-sirim