KPT Perkasa Modal Insan Melalui Program Rejuvenasi: Membugar Semangat Dan Memperkukuh Sinergi

KPT Perkasa Modal Insan Melalui Program Rejuvenasi: Membugar Semangat Dan Memperkukuh Sinergi

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan warganya menerusi pelaksanaan Program Rejuvenasi Warga KPT, satu inisiatif strategik yang bertujuan membugarkan semangat, meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal, serta memperkukuh kerja berpasukan dalam kalangan penjawat awam.

​Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, menegaskan bahawa program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya merupakan platform penting untuk menyegarkan semula (rejuvenate) diri kakitangan agar dapat kembali bertugas dengan produktiviti dan motivasi yang lebih tinggi.

​"Program ini kita aturkan untuk membugarkan dan menyegarkan diri kita secara mental dan fizikal supaya kita lebih bersemangat menyumbang kepada kementerian dan perkhidmatan awam.

​"Kita juga menekankan semangat kerja berpasukan atau teamwork kerana tanpanya, perkara yang mudah pun sukar untuk dicapai. Di sini, tiada konsep bos atau kuli, semua orang ada tanggungjawab masing-masing dan kita adalah bos kepada tugas yang kita laksanakan," tegas beliau.

​Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Rejuvenasi Warga KPT Siri 4 Tahun 2025/2026 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) siang tadi.

​Program Rejuvenasi Warga KPT ini telah dilaksanakan sebanyak empat (4) siri bagi sesi 2025/2026 dengan jumlah penyertaan seramai 330 orang peserta dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah KPT, termasuk Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEP), dan Bahagian-bahagian di kementerian.

​Sepanjang program tiga (3) hari dua (2) malam tersebut, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti mencabar seperti abseiling, flying fox, berkayak, dan water confidence, selain slot ceramah motivasi yang dikendalikan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof. Madya Dr Mohamad Marzuqi Abdul Rahim, yang dibangunkan untuk membina keyakinan diri, mengatasi ketakutan, dan memupuk semangat setiakawan.

​Dalam sesi interaksi bersama YBhg. Datuk Dr. KSU, rata-rata peserta memberikan maklum balas yang sangat positif.

​Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato' Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya menzahirkan rasa berbesar hati atas kepercayaan berterusan KPT memilih UPSI sebagai rakan kolaborasi program.

YBhg. ​Datuk Dr. Anesee turut mengumumkan bahawa program seumpama ini akan diteruskan pada tahun 2026 memandangkan impak positif yang ketara kepada para peserta.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penyertaan dan pengumuman kumpulan terbaik.

​Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 98
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 30 Januari 2026, 08:43:41.

logo-sirim