Malaysia Dan Mesir Terus Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Malaysia Dan Mesir Terus Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Arab Mesir, TYT Karim Mohamed Elsadat Abdelkarim Abdelkhalek pada petang tadi.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kekal komited untuk memperkukuh hubungan erat dan bersejarah antara Malaysia dan Republik Arab Mesir, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.

Pertemuan ini telah membincangkan status Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara yang masih dalam peringkat perbincangan dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

KPT juga berharap agar Kerajaan Republik Arab Mesir dapat mempertimbangkan pembaharuan tempoh pajakan tanah yang lebih lama, termasuklah kadar pajakan yang lebih berpatutan bagi Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK), yang telah lama berperanan sebagai pusat sokongan penting kepada pelajar Malaysia di Mesir. Malaysia menghargai kesediaan pihak Mesir untuk berbincang secara berterusan demi mencapai penyelesaian yang mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, lebih 500 pelajar telah mengikuti kursus bahasa Arab melalui usaha penubuhan Institut Bahasa Arab (IBRAZ) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Universiti Al-Azhar. Kerajaan Malaysia berharap MoU berhubung perkara ini dapat segera dimuktamadkan.

Malaysia turut membangkitkan isu berkaitan nilai bantuan kewangan biasiswa yang ditawarkan oleh pihak Mesir, khususnya dari segi kadar elaun yang diterima pelajar. Kerajaan Malaysia berharap perkara ini dapat diteliti semula bagi meningkatkan keselesaan dan manfaat pelajar.

Antara perkara-perkara lain yang turut dibincangkan ialah cadangan program sabatikal dan program pertukaran antara universiti awam yang melibatkan pelajar dan ahli akademik. Program seperti ini dapat memberi manfaat besar kepada kedua belah pihak.

KPT menghargai hubungan baik dan kerjasama berterusan daripada Kerajaan Republik Arab Mesir serta optimis bahawa komunikasi yang berterusan akan terus memperkukuh hubungan dua hala. Malaysia kekal komited untuk memperluas kerjasama akademik dalam bidang pendidikan demi kepentingan bersama. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 84
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 30 Januari 2026, 08:43:41.

logo-sirim