Kecekapan Pelaksanaan Projek Pembangunan Di UNIMAS Dan UiTM Cawangan Sarawak Jadi Keutamaan KPT
Pematuhan terhadap tata kelola dan jadual pelaksanaan projek kerajaan adalah elemen penting dalam memastikan tiada pembaziran wang awam berlaku.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengadakan lawatan kerja verifikasi ke tapak projek pembangunan di dua (2) buah universiti awam di Sarawak.
Ketua delegasi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan selaku Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT telah hadir ke kedua-dua lokasi semalam.
Tumpuan lawatan terarah kepada pemantauan projek Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Kota Samarahan.
Objektif utama adalah untuk menilai prestasi kontraktor dan memastikan kerja-kerja di tapak mematuhi spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan kerajaan.
KPT menekankan bahawa pemantauan di tapak adalah mekanisme terbaik untuk mengelakkan berlakunya projek sakit atau terbengkalai.
Pihak kementerian berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan projek di kedua-dua universiti dalam menguruskan cabaran pembinaan.
Kejayaan pelaksanaan projek tersebut bakal menjadi bukti kecekapan pengurusan pembangunan fasiliti pendidikan tinggi di peringkat persekutuan dan negeri.
Laporan penuh lawatan itu akan dijadikan rujukan utama dalam perancangan bajet pembangunan bagi fasa seterusnya.
Turut hadir Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit; dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 70