Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035: YAB PM Garis Lonjakan Paradigma Sistem Pendidikan Malaysia
Satu lonjakan paradigma dalam sistem pendidikan negara telah digariskan menerusi peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang bermatlamat melahirkan modal insan holistik, berteraskan nilai kemanusiaan serta menguasai teknologi masa hadapan.
Berucap merasmikan peluncuran tersebut di Dewan Perdana PICC siang tadi, Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelan 10 tahun tersebut bukan sekadar anjakan biasa, tetapi satu lonjakan drastik yang diperlukan untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di persada dunia.
Dalam konteks pendidikan tinggi, YAB Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif berimpak tinggi yang bakal mengubah landskap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Antara yang paling signifikan adalah pengambilalihan sepenuhnya pengurusan Tingkatan Enam dan Kolej Matrikulasi oleh KPT bermula tahun hadapan. Langkah itu mengiktiraf pelajar di peringkat tersebut sebagai sebahagian daripada komuniti pendidikan tinggi, bukan lagi pelajar sekolah, sekali gus menyelaraskan laluan ke universiti.
Menyentuh aspek keadilan sosial dan pendemokrasian pendidikan, YAB Dato' Seri Anwar mengumumkan peluasan bantuan pendidikan percuma. Melalui PTPTN, seramai 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar akan menerima pendidikan percuma, peningkatan ketara berbanding jumlah sedia ada. Selain itu, kerajaan turut memberikan pendidikan percuma kepada kesemua 3,000 orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang kini menuntut di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam merangkumi Universiti Awam (UA), Politeknik, dan Kolej Komuniti.
Bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti yang baharu. Sebanyak 10 buah politeknik akan dinaik taraf secara berterusan sepanjang tempoh rancangan itu dengan penekanan khusus terhadap digitalisasi dan Kecerdasan Buatan (AI).
Menyedari rungutan mahasiswa mengenai isu penginapan, YAB Perdana Menteri telah mengarahkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk bekerjasama dengan UA bagi menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan bermula tahun ini. Kerajaan juga menambah 3,000 tempat pengajian bagi kursus-kursus kritikal dan pilihan seperti AI, undang-undang, dan perakaunan bagi memenuhi permintaan pelajar cemerlang.
Dalam aspek pembinaan negara bangsa, YAB Perdana Menteri menetapkan bahawa Mata Pelajaran Umum (MPU) yang merangkumi Perlembagaan Persekutuan dan Sejarah Malaysia wajib diajar dalam Bahasa Melayu di semua IPT awam dan swasta. Namun, beliau turut menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris mesti diberi keutamaan tinggi sebagai bahasa kedua untuk memastikan daya saing graduan di peringkat global.
"Pelan ini adalah satu cabaran besar. Kejayaannya tidak terletak pada kecanggihan dokumen, tetapi pada kesungguhan pelaksanaannya. Mulai Mac ini, semua kementerian wajib membentangkan laporan perkembangan pelaksanaan inisiatif ini," tegas beliau.
Turut hadir dalam majlis penuh bersejarah tadi, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Amar Haji Fadillah Haji Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 125