Kolaborasi Triple Alliance Cetus Model Baharu Kerjasama Pendidikan Tinggi

9 September 2026 | Bandar Sunway, Selangor
Kerjasama tiga (3) universiti swasta terkemuka melalui kolaborasi Triple Alliance antara Monash University Malaysia, Sunway University dan Taylor’s University boleh menjadi contoh model baharu pendidikan tinggi yang menggabungkan kekuatan institusi bagi menghasilkan impak lebih besar kepada negara dan rantau.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menghendaki pendidikan tinggi dilihat melangkaui konsep kampus dan bangunan fizikal kepada jaringan kerjasama yang membolehkan kepakaran, kemudahan dan sumber dikongsi.
Beliau berkata konsep universiti berasaskan hab dan satelit (hub-and-spoke university) yang menggalakkan universiti bekerjasama serta berkongsi kepakaran akademik merupakan antara pendekatan yang boleh membentuk ekosistem pendidikan tinggi lebih dinamik dan berimpak.
“Universiti boleh kekal bersaing dalam kecemerlangan tetapi pada masa sama menjadi rakan dalam menghasilkan impak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran rasmi Triple Alliance di Sunway Square Jeffrey Cheah Performing Arts Centre di sini petang tadi.
Menurut beliau, kekuatan Triple Alliance terletak pada keupayaan tiga (3) universiti berkenaan menggabungkan kelebihan masing-masing sambil mengekalkan identiti dan standard kecemerlangan institusi.
Beliau berkata kedudukan ketiga-tiga universiti dalam satu koridor pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan sektor kesihatan, perniagaan dan komuniti turut menyediakan asas kukuh untuk pembentukan kelompok ilmu dan inovasi (knowledge and innovation cluster) di Greater Kuala Lumpur.
“Cabaran kompleks hari ini tidak boleh diselesaikan oleh satu institusi atau satu disiplin sahaja, sebaliknya memerlukan universiti merentasi sempadan tradisional dan menghimpunkan pelbagai bidang ilmu, pengalaman serta kepakaran,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyambut baik tumpuan Triple Alliance terhadap penyelidikan multidisiplin dalam bidang kesihatan planet dan perubahan iklim, kesihatan digital, kecerdasan buatan dalam penjagaan kesihatan, pembangunan mampan, bandar pintar serta transformasi sosial.
Inisiatif itu turut disokong melalui Geran Penyelidikan Bersama Triple Alliance (Triple Alliance Joint Research Grant) yang menghimpunkan penyelidik daripada ketiga-tiga universiti dan industri, manakala keseluruhan kerjasama melibatkan lebih 70,000 pelajar dan warga kerja dengan tumpuan kepada pendidikan, penyelidikan, perkongsian sumber, kehidupan pelajar dan impak komuniti.
Pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan sulung Orkestra Filharmonik Triple Alliance (Triple Alliance Philharmonic Orchestra) serta dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengasas dan Pengerusi Sunway Group merangkap Canselor Sunway University, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah; Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman; Presiden dan Naib Canselor Sunway University, Prof. Sibrandes Poppema serta Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Prof. Barry Winn.
Dalam pada itu, YB Menteri turut menghargai sumbangan endowmen RM5 juta oleh Jeffrey Cheah Foundation bagi menyokong penubuhan dan pelaksanaan Triple Alliance, sambil mengingatkan bahawa kejayaan kerjasama itu perlu diterjemahkan daripada perancangan kepada tindakan yang menghasilkan manfaat nyata kepada masyarakat dan negara.
- Last updated on .
- Hits: 108
