Pelan Strategik UPM 2026–2030 Jadi Landasan UPM Hasilkan Penyelesaian Berimpak Tinggi Untuk Negara

Pelan Strategik UPM 2026–2030 Jadi Landasan UPM Hasilkan Penyelesaian Berimpak Tinggi Untuk Negara

8 September 2026 | Serdang, Selangor

Universiti Putra Malaysia (UPM) komited menyusun hala tuju lima (5) tahun akan datang untuk menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi terhadap cabaran negara dan dunia menerusi Pelan Strategik UPM 2026–2030 (PSUPM 2026–2030).

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata pelan itu mencerminkan peranan penting universiti sebagai institusi ilmu yang bukan sahaja menyampaikan pengetahuan malah menyumbang secara langsung kepada penyelesaian masalah masyarakat dan negara.

Beliau berkata kekuatan ilmu, kepakaran serta sumber yang dimiliki UPM perlu diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan, perubahan iklim dan perubahan persekitaran global.

“Universiti bukan hanya tempat melaksanakan program dan aktiviti, tetapi sebuah institusi ilmu yang harus menjadi pemacu penyelesaian, pencetus perubahan dan pembina masa depan,” katanya pada Majlis Peluncuran PSUPM 2026–2030 di sini petang tadi.

Beliau berkata pendekatan berorientasikan misi yang diterapkan UPM memberi ruang kepada universiti untuk menggembleng kepakaran pelbagai bidang bagi menghasilkan penyelesaian yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta 10 Lonjakan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Dalam bidang Pertanian dan Keterjaminan Makanan, beliau mahu kekuatan UPM dalam agroteknologi, kejuruteraan genetik dan pertanian tepat dimanfaatkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran domestik, mengurangkan kos sara hidup serta memperkukuh kedaulatan makanan negara.

Bagi Kesihatan Planet dan Kelestarian pula, beliau melihat kepakaran UPM berpotensi menyumbang kepada penyelesaian perubahan iklim serta menjadikan kampus universiti sebagai makmal hidup yang menerajui amalan dan inovasi ke arah kampus rendah karbon.

Dalam masa sama, beliau berkata aspirasi UPM untuk diiktiraf di peringkat dunia perlu dibina atas kekuatan akademik, kredibiliti penyelidikan, pengaruh serta impak kepada permasalahan kemanusiaan dan bukan semata-mata berdasarkan kedudukan penarafan antarabangsa.

PSUPM 2026–2030 menggariskan empat (4) domain strategik iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kesihatan Planet dan Kelestarian; Universiti Diiktiraf Dunia; serta Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra, yang akan digerakkan melalui lima (5) pemacu transformasi dan enam (6) pemboleh daya institusi.

Pelan itu turut menjadi landasan penting UPM menuju sambutan 100 tahun penubuhannya pada 2031 dengan pelaksanaan secara bersama oleh seluruh warga universiti bagi memastikan aspirasi yang dirangka diterjemahkan kepada tindakan, pencapaian dan sumbangan yang lebih besar kepada negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, En. Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato’ Sri Jailani Johari; dan Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

  • Last updated on .
  • Hits: 74
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim