Kembara Ramadan YB Menteri Pendidikan Tinggi Santuni Warga USIM, Perkasa Integrasi Ilmu dan Kebajikan Mahasiswa

28 Februari 2026 | Nilai, Negeri Sembilan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan agenda turun padang menerusi Program Kembara Ramadan YB Menteri Pendidikan Tinggi dan Majlis Iftar Perdana 2026 bersama warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz semalam.
Program ini menjadi wadah memperkukuh hubungan strategik antara KPT dan institusi pendidikan tinggi melalui pendekatan lebih dekat serta menyantuni mahasiswa sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan lawatan kali ketiganya ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai satu kunjungan yang amat bermakna.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap model pendidikan universiti berkenaan yang mengintegrasikan sains dan pengajian Islam secara holistik, selaras dengan konsep ilmu yang tidak memisahkan disiplin akademik daripada asas agama dan nilai.
Menurut beliau, konsep ilmu dalam Islam bersifat syumul dan tidak terpisah-pisah. Mahasiswa, jelasnya boleh mendalami pelbagai bidang seperti ekonomi, undang-undang dan sains sebagaimana di universiti lain, namun perlu diperkukuh dengan tasawwur atau pandangan hidup berteraskan nilai dan asas agama yang jelas. Pendekatan ini, katanya, membentuk asas yang kukuh sebelum mahasiswa melangkah lebih jauh dalam bidang kepakaran masing-masing.
YB Menteri turut merakamkan keyakinan bahawa USIM merupakan antara institusi terbaik dalam kalangan universiti berteraskan Islam, seiring dengan perkembangan model pendidikan integratif yang semakin mendapat pengiktirafan.
Terdahulu, YB Menteri telah Melancarkan Dapur Siswa MADANI USIM yang menyediakan juadah berbuka puasa khususnya kepada pelajar asnaf dan golongan B40.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, solidariti dan kesejahteraan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat dan dana rakan strategik korporat berjumlah RM117,000.00 daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan AmMetLife Takaful, manakala Ajinomoto Malaysia Berhad menaja 1,000 pek bubur lambuk kepada jemaah solat Jumaat.
Selain itu, Kelab Perwira Malaysia–Aman Palestin turut menyalurkan bantuan tiket balik kampung kepada 100 pelajar asnaf sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani; serta Naib Canselor USIM, Prof. Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
- Last updated on .
- Hits: 246
