YAB Perdana Menteri Seru Mahasiswa untuk Berani Berubah Hadapi Cabaran Dunia Kompleks

1 Mac 2026 | Putrajaya
CABARAN dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah menuntut mahasiswa menguasai ilmu baharu, menyesuaikan cara berfikir serta memperkukuh nilai dan akhlak sebagai asas pembentukan jati diri.
“Harus menimba ilmu, mengangkat martabat kita sebagai manusia, tetapi harus juga insaf bahawa yang penentu akhirnya itu diri kita ‘ikhlas al-amalillah’ dan menetapkan nilai dan akhlak kita.”
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjadi tuan rumah Majlis Berbuka Puasa bersama kira-kira 300 orang pelajar dan mahasiswa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.
Program tersebut menghimpunkan mahasiswa daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, generasi muda perlu bersedia menghadapi perubahan luar jangka melalui penguasaan ilmu dan pendekatan baharu yang lebih relevan.
Beliau turut menegaskan bahawa kepantasan perubahan global menuntut mahasiswa mengubah cara berfikir, belajar dan bertindak agar tidak ketinggalan dalam persaingan.
“Kalau mahu maju kita harus terima kenyataan, tidak boleh kekal di tahap yang lama: cara berfikir, cara bekerja, cara belajar.”
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim yang hadir turut beramah mesra dan menyantuni para mahasiswa sepanjang majlis berlangsung.
Majlis ini turut menjadi platform interaksi langsung antara pemimpin negara dan mahasiswa dalam menyampaikan aspirasi serta pandangan berkaitan pendidikan tinggi.
Hadir sama Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta pegawai kanan Kementerian, Jabatan, Agensi, dan IPTA.
- Last updated on .
- Hits: 157
