KARISMA: Platform Latih Pemimpin Pelajar Berketerampilan Masa Hadapan
"Visi saya mahu melihat barisan perwakilan pelajar di depan saya ini menjadi pemimpin.
Mungkin ada dalam kalangan kamu semua akan menjadi Perdana Menteri atau memimpin negeri masing-masing".
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata demikian ketika sesi dialog dengan para pimpinan mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara pagi tadi dalam program Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA).
Beliau yang turut menyempurnakan program tersebut telah berkongsi wawasan dalam pembentukan pemimpin pelajar generasi baharu sambil mengutip pandangan dan mendengar isu yang dihadapi mereka selaku suara mahasiswa.
Antara titipannya ialah seputar fasa-fasa pendewasaan dan tanggungjawab seorang pemimpin; kepentingan otak dan watak; serta membentuk kepimpinan berkredibiliti dalam kapasiti masing-masing.
Program tiga (3) hari anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), dan Akademi Kenegaraan (AKAR) tersebut bertujuan membentuk dan memperkasakan generasi pemimpin pelajar yang berketerampilan melalui pelbagai modul latihan bercirikan kepimpinan, spiritual, fizikal, dan intelektual.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut mengumumkan pemberian dana sebanyak RM 20 ribu kepada setiap 20 majlis perwakilan pelajar universiti awam (UA) dan tujuh (7) IPT swasta yang telah berkampung menjayakan program KARISMA kali ini untuk digunakan bagi menguruskan aktiviti masing-masing.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah JPT, Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Pengarah AKEPT; Prof. Dr Harshita Aini Haroon.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1552