Ahli Parlimen Hadir Taklimat RUU AUKU Pindaan 2023

Ahli Parlimen Hadir Taklimat RUU AUKU Pindaan 2023

"Kita menganggap AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971) hanya semata-mata kaitannya dengan student (mahasiswa) sahaja.

Walhal ia berkaitan dengan urusan menubuh, menyelenggara, dan juga mentadbir universiti dan kolej universiti kesemuanya".

Jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir kepada para Ahli Parlimen Malaysia di sesi Taklimat Rang Undang-Undang AUKU Pindaan 2023 (RUU AUKU 2023) di sini siang tadi.

Taklimat tersebut diadakan bagi menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan enam (6) pindaan dalam RUU AUKU 2023 yang akan dibacakan buat kali kedua pada sidang mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Antaranya ialah berkaitan kebenaran memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Badan Pelajar; penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan kalendar akademik; serta pemantapan amalan tadbir urus tatatertib mahasiswa.

Tambah YB Menteri lagi, pindaan dalam RUU AUKU 2023 sungguhpun melibatkan kesemua Universiti Awam, tapi dua buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi MARA tidak termasuk kerana masing-masing mempunyai aktanya sendiri.

Sesi penerangan telah dikendalikan oleh Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia, Dr. Khairul Anuar Che Azmi dan para Ahli Parlimen turut menyertai sesi soal jawab bagi mendapatkan maklumat lebih jelas berkenaan RUU terbabit.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 904
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim