Kampus Baharu City University Malaysia Di Sabah Beri Impak Positif Sektor Pendidikan Tinggi Negeri
YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi amat mengalu-alukan pembukaan kampus baharu City University Malaysia di Negeri Sabah yang dijangka bakal memberi impak positif kepada perkembangan pendidikan tinggi yang berdaya saing.
Katanya lagi, pembukaan itu turut dapat membina sumber daya manusia yang lebih progresif untuk Negeri Sabah yang memerlukan lebih banyak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berpengalaman dan berprestasi bagi melahirkan graduan permintaan industri.
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang berucap merasmikan pembukaan kampus baharu City University Malaysia di Pusat Wilayah Sabah petang tadi, turut menyatakan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada usaha IPT tersebut dalam memastikan anak-anak di Negeri Sabah dapat mengecap nikmat pendidikan yang selayaknya seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Selain itu, beliau turut menyeru agar semua IPT swasta lain bersama-sama KPT untuk mempelopori bidang pendidikan TVET yang amat diperlukan oleh negara pada ketika ini.
Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan hari karnival terbuka universiti tersebut yang dianjurkan bagi menghebahkan berkenaan program pengajian serta kursus yang ditawarkan.
Beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara City University Malaysia dengan Gagasan Naluri Sdn. Bhd. serta menyerahkan bantuan dan sumbangan zakat kepada para pelajar dalam golongan rentan.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola City University Malaysia, Dato' Prof. Dr. Husaini Omar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 671