Malaysia-China Meterai MoU Perkukuh Sektor Pendidikan Tinggi, Teroka Kerjasama Bidang-Bidang Berpotensi

Malaysia-China Meterai MoU Perkukuh Sektor Pendidikan Tinggi, Teroka Kerjasama Bidang-Bidang Berpotensi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Duta Besar China ke Malaysia, TYT Ouyan Yujing semalam telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh serta memperluas kerjasama sektor pendidikan tinggi sedia ada antara Kuala Lumpur-Beijing.

Pertukaran MoU tersebut adalah bersempena lawatan rasmi Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang ke Malaysia bermula 18 hingga 20 Jun 2024 bersempena dengan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-Republik Rakyat China.

Turut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, MoU tersebut bakal mengorak langkah signifikan sebagai platform bagi kedua-dua kerajaan memulakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (Joint Working Group - JWG) membincangkan hala tuju kerjasama program pendidikan tinggi dua hala KL-Beijing.

MoU tersebut merangkumi pelbagai aspek kerjasama antaranya bidang STEM; TVET; teknologi maklumat; transformasi digital; dan kecerdasan buatan (AI).

Ia juga akan menggalakkan kerjasama teknikal dalam beberapa bidang, termasuk teknologi pendidikan baharu dalam pendidikan tinggi; dasar pendidikan tinggi; penubuhan bersama Institut Penyelidikan Lanjutan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kedua-dua negara; dan usaha ke arah melaksanakan pemindahan kredit dan program ijazah secara bersama.

Malah, ia turut meliputi perkongsian maklumat dan pertukaran kepakaran yang akan mendorong IPT tempatan terus bersaing dalam penawaran program pendidikan yang berkualiti bagi menarik lebih ramai lagi pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.

Kerjasama pelbagai serampang yang berterusan antara kedua-dua buah negara termasuk aspek pendidikan tinggi akan memberi prospek pertumbuhan ekonomi dan pelaburan berkualiti kepada rantau ini secara keseluruhan.

Melalui pemeteraian MoU dan pendekatan kolaboratif ini, kedua-dua buah negara berharap agar hubungan dan kerjasama yang lebih erat dapat diteruskan, sekali gus bakal membuka peluang kepada Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai bentuk kerjasama sektor pendidikan tinggi dengan China yang sekali gus dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 243
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.