Jentera Perkhidmatan Awam Yang Stabil Dan Berintegriti Jamin Tadbir Urus Terbaik
YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Tahun 2022 di Dewan Za’ba KPT pagi ini.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memupuk kefahaman, penghayatan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kementerian, selaras dengan hala tuju baharu pihak Pengurusan Tertinggi KPT yang komited dalam meningkatkan pembudayaan integriti serta mengurangkan taraf risiko rasuah di peringkat Kementerian, Jabatan, Agensi serta Institusi Pendidikan Tinggi di bawah KPT.
Tema Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat KPT Tahun 2022 adalah “Kompetensi Berasaskan Integriti”. Tema ini dipilih bagi menggambarkan hasrat kepimpinan KPT untuk memastikan warga kerja yang kompeten tanpa mengetepikan integriti dalam setiap aspek tugasan.
Dalam ucapan amanatnya, YBhg. Dato’ Seri KSU menekankan bahawa jentera perkhidmatan awam yang stabil dan berintegriti adalah elemen yang paling penting dalam memastikan tadbir urus yang terbaik.
Beliau turut mengingatkan warga KPT untuk sentiasa menjiwai frasa “Saya yang menjalankan amanah” dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Pada majlis sama, seramai 7 orang pegawai telah dianugerahkan Sijil “Kompetensi Berasaskan Integriti” sebagai penghargaan kepada usaha mereka dalam melaporkan pelanggaran tatakelakuan dan mengambil tindakan korektif, preventif dan proaktif bagi mengelakkan kerugian berterusan atau mengelakkan reputasi dan nama baik KPT dan Perkhidmatan Awam terjejas.
Turut hadir YBhg Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) dan YBhg Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan).
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4753