JELITA@KPT, Inisiatif Perkasa Kebolehpasaran Graduan Wanita TVET Peroleh Gaji Premium

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir mengiringi Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan Majlis Penutup JELITA@KPT Summit 2024 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) siang tadi.
JELITA (Job Empowerment By Learning And Inclusive Technical Advancement) menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan, memberi fokus kepada graduan wanita untuk meningkatkan kebolehpasaran dengan kemahiran dan pensijilan TVET.
Program tersebut yang melibatkan 80% peserta wanita menyediakan modul terangkum seperti latihan pensijilan, bengkel kemahiran insaniah, sesi temuduga, dan peluang pekerjaan dengan gaji premium melalui kerjasama syarikat multinasional.
Terbahagi kepada dua (2) fasa, fasa pertama merupakan latihan pensijilan melibatkan 3,000 orang pelajar yang telah dijalankan di empat (4) zon melibatkan UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sepanjang November lalu.
Manakala fasa kedua telah dijalankan pada 1 hingga 4 Disember lalu dengan pengisian program seperti bengkel kemahiran insaniah, wacana motivasi, pameran produk penyelidikan inovasi dari Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), pertandingan 'pitching' pelajar melibatkan panel dari industri, sesi temu duga bersama syarikat, penyerahan surat penawaran kerja dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Industri.
Pelbagai sektor industri yang melibatkan syarikat tempatan dan multinasional terlibat sama menjayakan program berimpak nasional tersebut dengan penawaran lebih 1,000 peluang pekerjaan buat para peserta.
Pada Majlis itu juga, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut berbesar hati menyampaikan surat tawaran pekerjaan kepada beberapa orang graduan terpilih yang telah berjaya melalui proses temu duga.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Dr. Husaini Omar; dan Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi MTUN, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 383