Kerjasama KPT-Huawei Pacu Transformasi Digital Malaysia

Kerjasama erat yang strategik antara sektor pendidikan tinggi dan industri terus menjadi pemacu utama dalam membangunkan bakat digital tempatan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, "Kerjasama ini bukan sahaja mengisi jurang antara akademik dan keperluan industri tetapi juga memastikan generasi muda dilengkapi dengan kemahiran yang relevan untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi Ibu Kota Digital ASEAN menjelang 2030".
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis 'Huawei ICT Competition Awards Ceremony 2024-2025' yang berlangsung di sini semalam. Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Acara tersebut turut meraikan kejayaan pelajar dan universiti dalam ICT melalui pertandingan peringkat nasional, di mana Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Multimedia University (MMU) telah dilantik sebagai Huawei ICT Academy Support Centers.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kassim Hj. Mansur, menyatakan bahawa kerjasama ini telah membolehkan UMS melatih lebih 1,500 pelajar dengan kelayakan ICT bertauliah, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran industri global.
Sebagai simbol komitmen berterusan, Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Huawei Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memperkukuh usaha bersama dalam memacu transformasi digital Malaysia.
Program ini juga menjadi platform penting untuk memperlihatkan sinergi antara sektor pendidikan dan industri dalam membentuk masa depan tenaga kerja Malaysia.
Huawei, melalui akademi dan inisiatifnya, terus menyumbang kepada pembangunan bakat digital negara.
Dengan kerjasama strategik seperti ini, Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk mengukuhkan kedudukan sebagai hab teknologi serantau sambil memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 373