In Person With Doc Zam ‘Anak Perak’ Di UPSI, YB Menteri Kongsi 5 Teras Panduan Untuk Mahasiswa

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa mahasiswa perlu menjadikan lima (5) teras utama sebagai panduan dalam membina masa depan yang gemilang serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Pesanan itu dizahirkan ketika beliau menyertai sesi dialog interaktif 'In Person With Doc Zam' yang dihoskan oleh Fedtri Yahya bersempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 2.0 yang menghimpunkan hampir 1,000 orang pelajar Anak Perak daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.
Dalam perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa ilmu merupakan kunci kejayaan dan perlu dijadikan amalan sepanjang hayat bagi memastikan mahasiswa terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.
Selain ilmu, aspek keyakinan diri termasuk keberanian bercakap di khalayak ramai turut ditekankan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan kepimpinan berwibawa.
Dalam hal cabaran pula, beliau menjelaskan bahawa pengalaman suka dan duka wajar ditukar menjadi kekuatan kerana ia adalah proses membina daya tahan serta keteguhan jiwa.
Beliau seterusnya mengingatkan mahasiswa supaya menetapkan cita-cita yang jelas sebagai arah tuju kehidupan kerana cita-cita menjadi pendorong utama untuk terus berusaha tanpa mengenal putus asa.
Teras terakhir yang diketengahkan ialah kepimpinan berteraskan tanggungjawab dan amanah yang digerakkan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
“Mahasiswa hari ini adalah pemimpin masa hadapan, gunakan peluang di universiti dan institusi pendidikan tinggi untuk menimba ilmu, membina jaringan serta mengasah keupayaan kepimpinan agar dapat memberi manfaat kepada bangsa dan negara,” ujarnya.
Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan selaku penganjur Karnival Siswa Perak Sejahtera 2.0; serta Naib Canselor UPSI, Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 257