Datuk Dr. Anesee Ketuai Kontinjen KPT Ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

Datuk Dr. Anesee Ketuai Kontinjen KPT Ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah mengetuai kontinjen KPT ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pagi tadi.

Majlis gilang-gemilang tersebut telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan pasangan diraja tersebut turut diiringi oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri; YAB Timbalan-timbalan Perdana Menteri; serta YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Seramai 6,165 orang peserta mewakili 120 kontinjen Kementerian, badan berkanun dan agensi swasta telah mengambil bahagian dalam perarakan beralun selawat sebagai manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Kemuncak sambutan ialah pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul SAW oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengerusi Lembaga Tabung Haji yang juga merupakan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selaku penerima Anugerah Perdana, bersama enam (6) individu lain bagi Anugerah Maulidur Rasul atas sumbangan cemerlang mereka kepada pembangunan ummah dan negara.

Sambutan tahun ini membawa tema “Membangun Ummah MADANI” yang menekankan kefahaman dan penghayatan terhadap hijrah serta kepimpinan Rasulullah SAW berteraskan keadilan dan ihsan sebagai asas pembentukan masyarakat adil, beradab dan sejahtera.

Kontinjen KPT turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan

Malah, warga KPT daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian turut hadir bagi menyokong usaha memperkasa syiar Islam selaras dengan semangat Malaysia MADANI. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 273
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim