Hasrat Malaysia - Sudan Perkukuh Hubungan Kedua Negara Dan Bantuan Kepada Pelajar Sudan Dalam Bidang Pendidikan Tinggi
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan pertemuan dengan TYT Prof. Dr. Mohamad Hassan Dahab Ahmed, Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik, Republik Sudan pada petang ini dalam rangka kerja lawatannya ke Malaysia.
Semasa sesi pertemuan ini, TYT Prof. Dr. Mohamad Hassan dan YB Menteri telah berkongsi dan bertukar pendapat mengenai sistem pendidikan tinggi kedua-dua negara, di samping meneruskan hasrat untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
TYT Prof. Dr. Mohamad Hassan turut berkongsi, tumpuan utama negara Sudan kini adalah memastikan tenaga kerja yang mencukupi bagi pembangunan semula negara tersebut selepas era peperangan.
Sehubungan dengan itu, TYT Prof. Dr. Mohamad Hassan berharap agar Malaysia dapat membantu pelajar Sudan yang sedang melanjutkan pelajaran di Malaysia. Antaranya, kemudahan visa dan pas untuk keluarga pelajar ke Malaysia, terutamanya bagi pelajar prasiswazah, pengurangan yuran kepada pelajar Sudan di Malaysia, penawaran biasiswa untuk pelajar yang layak serta kemudahan pemindahan kredit terutamanya kepada pelajar tahun akhir yang terjejas akibat peperangan bagi membolehkan mereka menamatkan pengajian di Malaysia.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara dua buah negara dalam masa yang terdekat.
Turut hadir di pihak KPT adalah Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1349