UUM Tuan Rumah SUKIPT 2024
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmen dalam memantapkan lagi sektor sukan negara melalui penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi 2024 (SUKIPT 2024) yang bakal dilangsungkan pada 6 hingga 14 September depan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih sebagai tuan rumah.
Bakal mempertandingkan 28 acara sukan dengan sejumlah 233 pingat emas, sebanyak 74 kontinjen merangkumi 6,000 orang atlet IPT awam dan swasta se-Malaysia sudah mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan kali keenam itu nanti.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang diwakili Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menyempurnakan majlis pelancaran SUKIPT 2024 di hadapan para atlet IPT, penaja, persatuan-persatuan sukan serta kepimpinan IPT di sini pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau percaya aksi-aksi yang bakal dipamerkan oleh semua atlet - IPT juga kebangsaan - mampu meletakkan SUKEPT 2024 sebagai satu temasya sukan terbesar dan bertaraf tinggi, setanding Sukan Malaysia (SUKMA) dan sebagainya.
Malah, SUKIPT 2024 turut akan menjadi medan untuk atlet IPT sentiasa mengekalkan prestasi terbaik mereka sebelum bersaing di pelbagai kejohanan antarabangsa termasuklah Sukan Universiti ASEAN (AUG); Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE); Sukan Asia; dan Sukan Olimpik.
Penganjuran SUKIPT 2024 yang bersekali dengan sambutan ke-40 tahun UUM itu, tetap mengekalkan slogan kejohanan lalu iaitu 'Minda Juara' dengan KPT telah menyasarkan untuk menekankan aspek 'low carbon' yang akan membawa kejohanan ini ke arah meminimumkan penggunaan karbon dalam setiap aktivitinya.
Selain itu, KPT turut mengumumkan beberapa insentif bagi meningkatkan lagi motivasi atlet yang bertanding, antaranya, Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2024 bakal menerima wang tunai berjumlah RM3,000 setiap seorang; Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT masing-masing akan menerima RM7,000; serta wang tunai RM1,000 khusus untuk pemain golf yang berjaya membuat 'hole-in-one'.
Sebagaimana penganjuran SUKIPT sebelum ini, KPT meneruskan insentif wang tunai RM20,000 yang akan diberikan kepada atlet-atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sepanjang kejohanan ini berlangsung kelak.
Beliau turut mengucapkan selamat berjuang kepada kesemua lapan ( orang atlet IPT merangkap atlet kebangsaan yang akan bertanding pada kejohanan Olimpik 2024 di Paris nanti.
Pada majlis itu, beliau telah turut menerima penyerahan sumbangan daripada para penaja SUKIPT 2024.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Naib Canselor UUM; Dato' Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Fazidah Mustafa.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2318