Dashboard Pendidikan Tinggi Pantau Prestasi Sektor Pendidikan Tinggi Negara
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyempurnakan majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 bagi bulan Ogos di sini petang tadi.
Pada majlis itu juga, beliau telah meluncurkan Dashboard Pendidikan Tinggi, iaitu sebuah pelantar yang membolehkan para pemegang taruh mengakses pencapaian sektor Institusi-institusi Pendidikan Tinggi negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melancarkan dashboard Pendidikan Tinggi iaitu pelantar yang akan digunakan oleh kementerian bagi memantau dan melaporkan berbagai indikator prestasi dan pencapaian kesemua inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi.
Input dan data pencapaian KPI kesemua inisiatif yang dikumpulkan daripada Bahagian, Jabatan, Agensi dan Insititusi-Insititusi Pendidikan Tinggi (IPT) akan digunakan bagi mengukur, menganalisa pelaporan serta mengambil kira keperluan intervensi.
Terdapat 3 Inisiatif yang dipantau di dalam dashboard ini termasuk Pelan Tindakan
Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan Kajian Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC).
Dashboard ini juga turut akan memaparkan kisah-kisah pencapaian Insititusi-Insititusi
Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tempatan.
Sebelum itu, beliau telah melancarkan program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat kementerian di lobi KPT.
YB Menteri turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang turut sama menyertai sesi syarahan bertajuk 'Kemanusiaan dan Pendidikan Masa Hadapan' yang telah disampaikan oleh mantan Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, TYT Dr. Naledi Pandor.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha (KSU) KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan KSU (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1606