ATSN 2026: PM Seru Mahasiswa Guna Ilmu, Bakat Untuk Manfaat Masyarakat dan Negara

ATSN 2026: PM Seru Mahasiswa Guna Ilmu, Bakat Untuk Manfaat Masyarakat dan Negara

2 Oktober 2026 | Putrajaya

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyeru mahasiswa supaya menjadikan pendidikan tinggi sebagai ruang membina ilmu, akhlak, sahsiah dan kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat serta negara.

Beliau berkata, universiti tidak seharusnya dilihat sebagai institusi yang terpisah daripada permasalahan masyarakat sebaliknya mahasiswa perlu memahami isu semasa dan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk menangani cabaran negara.

Menurut beliau, kecemerlangan akademik perlu disertai kekuatan dalaman kerana ilmu semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak membentuk keperibadian, akhlak dan nilai yang menjadi panduan dalam kehidupan.

Beliau berkata, prinsip “mengakar ke bumi” perlu diterjemahkan melalui iman, akhlak, sahsiah, keperibadian dan jati diri agar mahasiswa yang mengejar kecemerlangan turut mempunyai kesedaran untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Generasi Z membina tahap kesedaran yang tinggi serta memupuk keinginan untuk berkhidmat, berbuat baik dan menyumbang kepada perubahan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut berharap barisan Tokoh Siswa yang dilahirkan setiap tahun mempunyai bukan sahaja pencapaian akademik tetapi semangat, daya juang dan keinginan untuk membawa perubahan kepada bangsa dan negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan mahasiswa supaya memanfaatkan peluang dan kemudahan yang tersedia dalam pendidikan tinggi bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi turut memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata kecemerlangan mahasiswa perlu dilihat secara menyeluruh meliputi pencapaian akademik, kepimpinan, sahsiah dan kesediaan membantu masyarakat.

Beliau berkata pendekatan pembangunan “otak dan watak” penting bagi melahirkan mahasiswa yang berilmu, berintegriti dan bertanggungjawab serta mampu menggunakan ilmu untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 yang berlangsung di sini semalam menyaksikan penyampaian 13 anugerah utama yang merangkumi bidang kepimpinan, inklusiviti, kesukarelawanan, komuniti, kelestarian, inovasi, perpaduan, bicara, sukan, seni warisan dan keusahawanan.

Kemuncak pengiktirafan ialah Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 kepada Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mencatat kecemerlangan serta pengalaman dalam perwakilan mahasiswa, penyertaan dalam perancangan pendidikan tinggi dan mobilisasi bantuan kemanusiaan.

Selain 13 anugerah utama, ATSN 2026 turut memberikan empat (4) kategori Anugerah Khas iaitu Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi, Anugerah Khas YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Anugerah Khas Ketua Setiausaha KPT dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi kepada lapan (8) mahasiswa daripada universiti awam dan Institusi Pendidikan Tinggi.

ATSN 2026 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meneruskan pengiktirafan terhadap mahasiswa yang menunjukkan pencapaian akademik, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat serta negara.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman serta kepimpinan tertinggi KPT dan IPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 36
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 02 Oktober 2026, 11:23:24.

logo-sirim