MAGNET 2026: Pendidikan Tinggi Wahana Bentuk Insan Beradab, Berfikiran Global

1 Oktober 2026 | Nilai, Negeri Sembilan
Pendidikan tinggi perlu melangkaui matlamat memperoleh kelayakan akademik dengan turut membentuk insan beradab, berfikiran terbuka dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata pendidikan perlu membina karakter dan nilai diri supaya graduan bukan sahaja mampu memperoleh pekerjaan yang baik, malah membawa perubahan positif kepada komuniti serta negara apabila kembali ke tanah air masing-masing.
“Yang paling penting bukan apa yang akan saya jadi, tetapi manusia jenis apakah yang akan saya jadi,” katanya ketika menyampaikan sesi perkongsian dan dialog bersama pelajar antarabangsa sempena program Ramah Mesra Bersama Mahasiswa Antarabangsa Di Malaysia (Meet and Greet with International Students in Malaysia, MAGNET) 2026 di INTI International University, pagi tadi.
Menurut beliau, kepelbagaian latar belakang pelajar antarabangsa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia memberi ruang kepada mereka memahami budaya, agama dan cara pemikiran yang berbeza sekali gus membentuk perspektif yang lebih luas terhadap dunia.
Dalam pada itu, beliau berkata pengantarabangsaan pendidikan tinggi perlu dilihat melangkaui pertukaran pelajar atau mobiliti akademik kerana hubungan yang terbina sepanjang tempoh pengajian boleh menjadi jaringan kerjasama antara Malaysia dengan negara asal pelajar pada masa hadapan.
Mengulas persediaan pendidikan tinggi menghadapi perubahan teknologi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata kecerdasan buatan (AI) perlu diterima sebagai sebahagian daripada realiti pendidikan semasa, namun penggunaannya mesti diseimbangkan dengan keupayaan berfikir, pertimbangan moral dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata IPT juga perlu memberi ruang kepada pelajar meneroka keusahawanan melalui program permulaan perniagaan (startup) supaya jaringan yang dibina antara pelajar dari pelbagai negara dapat berkembang menjadi kerjasama ekonomi dan perniagaan selepas tamat pengajian.
Menyentuh kebajikan pelajar antarabangsa, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memudahkan urusan visa dan tempoh pengajian pelajar antarabangsa, termasuk keperluan pelajar yang memerlukan tempoh tambahan untuk latihan atau pengajian tertentu.
Beliau turut menegaskan Malaysia tidak mengamalkan diskriminasi terhadap pelajar berdasarkan negara asal mereka dan meminta pelajar antarabangsa mengemukakan sebarang isu berkaitan pengajian, visa atau kebajikan melalui institusi masing-masing sebelum dibawa kepada KPT untuk tindakan lanjut.
MAGNET 2026 yang berlangsung selama dua (2) hari dari 30 September hingga 1 Oktober di INTI International University, Nilai, dianjurkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama INTI International University bagi menghimpunkan pelajar tempatan dan antarabangsa menerusi aktiviti kebudayaan, permainan tradisional, pameran negara serta sesi interaksi bersama YB Menteri Pendidikan Tinggi.
- Last updated on .
- Hits: 38
