ART@ASEAN’25: Meletakkan Pendidikan Tinggi Sebagai Teras Perpaduan Serantau

ART@ASEAN’25: Meletakkan Pendidikan Tinggi Sebagai Teras Perpaduan Serantau

Bersempena Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Ambassadors’ Roundtable for ASEAN 2025 (ART@ASEAN’25), sebuah platform diplomatik berprestij yang menghimpunkan wakil-wakil dari negara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) bagi memperkukuh dialog membina serta mempererat kerjasama antara dua rantau.

Majlis Perasmian ART@ASEAN’25 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Bridging Nations, Connecting Regions: The Role of Higher Education for ASEAN Unity.”

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan tinggi merupakan pemacu utama kepada perpaduan serantau dan kerjasama antarabangsa yang lebih bermakna. Beliau menyeru agar program mobiliti pelajar, pendidik, penyelidik dan belia diperhebat bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN, tetapi juga bersama negara-negara Eropah.

ART@ASEAN’25 merupakan inisiatif KPT dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta rangkaian universiti awam dan swasta terkemuka di seluruh negara. Forum ini berfungsi sebagai platform strategik dalam memperkukuh diplomasi pendidikan, memperluas jaringan akademik dan mempererat kerjasama pelbagai hala demi pembangunan serantau dan global.

Menariknya, YB Menteri turut memperkenalkan konsep “mobiliti minda” dalam ucapannya, satu pendekatan baharu yang menekankan kepentingan keterbukaan intelektual, empati budaya serta kesediaan untuk belajar melangkaui sempadan disiplin, geografi dan ideologi.

“Mobiliti minda ialah keupayaan untuk berfikir secara global tetapi bertindak secara lokal. Ia mencerminkan semangat keterlibatan melalui penyelidikan bersama, dialog antara budaya, pembelajaran pelbagai bahasa serta pengalaman rentas sektor,” ujar beliau.

Beliau turut meletakkan harapan agar ASEAN dan Eropah terus mengorak langkah bersama terutama mendepani cabaran baharu dalam bidang pendidikan tinggi.

Kredit Foto : Pejabat YB Menteri Pendidikan Tinggi 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 71
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim