UiTM Terus Unggul Dalam Sukan IPT, Lahirkan Atlet Bertaraf Antarabangsa

{gallery}hebahan/sorotan_aktiviti/2025/07/2025-07-03-KSU-SUKAN-IPT/Full/2025-07-03-KSU-01.jpg#joomlaImage://local-images/hebahan/sorotan_aktiviti/2025/07/2025-07-03-KSU-SUKAN-IPT/Full{/gallery}Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus membuktikan keunggulan dalam sukan pendidikan tinggi menerusi penganjuran Majlis Anugerah Sukan UiTM (MAS) 2024 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, yang menyifatkan acara tersebut sebagai manifestasi pengiktirafan tertinggi kepada atlet, jurulatih dan individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sukan sepanjang tahun 2024.
Sebanyak 18 kategori anugerah disampaikan termasuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah ‘Hall of Fame’ dan lain-lain, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mengharumkan nama UiTM di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kemuncak majlis menyaksikan atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq bin Kasdan, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Olahragawan UiTM buat tahun ketiga berturut-turut. Sementara itu, pemanah elit, Nurul Azreena binti Mohamad Fazil, diumumkan sebagai Olahragawati UiTM 2024 atas prestasi cemerlangnya di peringkat antarabangsa.
Menurut Datuk Dr. KSU, tahun 2024 merupakan tempoh membanggakan bagi sukan negara dengan pencapaian membanggakan di Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan kejohanan dunia. IPT termasuk UiTM jelasnya memainkan peranan penting dalam menyokong kesinambungan kejayaan ini.
“Kementerian turut memuji UiTM sebagai universiti yang aktif dan konsisten dalam pembangunan sukan, seiring dasar pembangunan pelajar secara holistik. UiTM bukan sekadar menyertai pelbagai kejohanan seperti SUKIPT, MASUM dan Liga IPT, tetapi turut mendominasi acara-acara penting.
KPT kini melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pengukuhan Dasar Sukan IPT, kerjasama dengan KBS dan MSN, serta pelaburan dalam kemudahan sukan universiti untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia,” jelas Datuk Dr. KSU.
Tambahnya lagi, dengan ekosistem sukan yang mantap dan sokongan kepimpinan universiti, UiTM diyakini akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan bakat sukan negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa sukan serantau dan antarabangsa.
Turut hadir, Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib, Pengurusan Tertinggi Kementerian dan UiTM serta ikon-ikon sukan tanah air.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 107