80 Orang Pelajar Malaysia Selamat Dibawa Pulang Dari Bangladesh
Misi kerajaan membawa pulang para pelajar Malaysia dari zon konflik, Bangladesh telah berjaya disempurnakan hari ini hasil koordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) siang tadi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud bersama Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Luar Negeri turun ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut ketibaan pulang mereka ke tanah air.
Menurut Wisma Putra, seramai 139 orang pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di beberapa universiti utama di Bangladesh.
80 orang pelajar telah dibawa pulang petang tadi, manakala kelompok yang tinggal komited untuk meneruskan pengajian mereka di sana bagi menghabiskan tahun akhir mereka.
Negara tersebut jatuh ke kancah konflik baru-baru ini berpunca daripada rusuhan dan tunjuk perasaan yang menyebabkan lebih 130 orang rakyatnya terkorban dan kerajaan mengisytiharkan pemerintahan darurat.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengumumkan bahawa KPT akan menyediakan segala bantuan yang diperlukan bagi mereka yang terkesan termasuklah menyediakan bantuan kaunseling, penginapan dan logistik.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 953