KPT rancang perluas IIP bangun bakat berkemahiran tinggi, kebolehpasaran graduan

2023 09 12 liputan 03

Mohamed Khaled mengadakan sidang akhbar semasa melawat Makmal Oppstar Technology Sdn Berhad di Sains@USM, Persiaran Bukit Jambul, Bayan Lepas, George Town, 4 Sept 2023. --fotoBERNAMA

Sumber : Astro Awani

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperluas Program Serap Industri (IIP) untuk merangkumi universiti dan sektor lain dalam usaha membangunkan bakat berkemahiran tinggi yang menepati permintaan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program ini berfokus kepada pembelajaran di universiti selama tiga tahun dan pendedahan praktikal industri selama setahun, justeru memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pekerjaan bersama industri dengan gaji premium lebih RM4,000 apabila bergraduasi kelak.

"KPT mahu membuat IIP ini sebagai platform nasional yang disediakan oleh universiti dengan kerjasama pihak industri supaya program latihan yang diwujudkan pada penggal terakhir pembelajaran sesuai dengan keperluan industri sebelum mereka diserap masuk ke alam pekerjaan.

"Kita juga akan melihat supaya IIP ini turut merangkumi penyertaan universiti lain dan juga sektor yang lain antaranya bioteknologi dan perubatan," katanya dalam sidang media selepas melawat makmal inkubasi Oppstar di USM di sini semalam.

Program tersebut turut menarik minat beberapa pemain industri lain seperti Skyechip, National Instruments, Advantest, Efinix, Infinecs, StarFive dan Infineon bagi melaksanakan program IIP mereka.

"Pelajar akan dibayar RM1,500 - RM2,000 semasa melakukan projek tahun akhir (FYP) di bawah program ini," katanya

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Dr Abdul Rahman Mohamed berkata Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM telah melancarkan IIP ini pada Sidang Akademik 2022/2023, iaitu seramai 47 pelajar (kohort pertama) telah dilatih semasa projek tahun akhir mereka, dengan penyertaan lima syarikat.

"Untuk kohort kedua Sidang Akademik 2023/2024, dianggarkan hampir 200 pelajar akan terlibat dalam IIP ini dengan penyertaan 25 syarikat," katanya.
-- BERNAMA

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 28107
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Jun 2024, 11:05:30.