Perbincangan transformasi pengajian politeknik dijangka selesai dalam sebulan dua

2023 09 12 liputan 01

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail (kanan) melawat pameran Minggu TVET Digital Polycc 2023 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/ Faiz Anuar

Sumber : Berita Harian

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini diperingkat perbincangan dan perancangan bagi melaksanakan transformasi pengajian politeknik dalam usaha membangunkan negara yang mempunyai warganegara berkemahiran tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata proses berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan dua ini.

"Kita lakukan transformasi ini kerana kita percaya pengajian politeknik dan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat penting untuk negara terus kekal relevan serta menarik minat ramai.

"Kita tahu dalam usaha untuk menjayakan pembangunan kemajuan, negara memerlukan pekerja dan juga rakyat yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Minggu TVET Digital Polycc di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata transformasi amat penting bagi membangunkan minat dalam kalangan rakyat kerana masa depan dan pekerjaan baharu banyak berkisar kepada kemahiran.

Katanya, satu daripada institusi yang banyak menyediakan pekerja berkemahiran adalah politeknik selain institusi yang terdapat dalam kementeriannya.

"Dengan melaksanakan pendigitalan, kita hendak tunjukkan bagaimana seronok belajar dalam kemahiran di politeknik dan sebagainya.

"Saya difahamkan untuk tahun depan mereka (politeknik) ada memohon daripada kementerian dalam RM15 juta (Bajet 2024). InsyaAllah kita akan cuba usahakan. Kebetulan mereka juga dapat peruntukan daripada pelbagai agensi lain," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohamed Khaled berkata aliran kemahiran dan politeknik bukan pilihan kedua serta bukan pilihan terakhir.

Sebaliknya, katanya, ia adalah aliran yang setanding dengan jurusan lain di institusi pengajian tinggi.

"Saya ingin tegaskan di sini, pelajar politeknik adalah mereka yang pintar. Pelajar politeknik adalah mereka yang mempunyai masa depan cerah.

"Aliran politeknik akan terus diberikan perhatian dan fokus yang setara, bukan sahaja oleh KPT, tetapi oleh negara kita.

"Saya harap politeknik akan terus mengorak langkah untuk menjadikan institusi ini sebagai institusi yang berdaya saing, dihormati dan menjadi pilihan pelajar dan masyarakat di luar sana," katanya.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 54664
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim