Penyelidikan Tun Dr. Ismail akan disampaikan kepada generasi baharu
Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman
Sumber : Utusan Malaysia
PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berikrar mandat menubuhkan Kursi Tun Dr. Ismail di bawah Institut Kajian Etnik yang menjadi penanda aras penting dalam penyelidikan perpaduan dan masyarakat akan disampaikan kepada generasi masa kini dan akan datang.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, penting untuk diingat bahawa nilai-nilai kenegaraan tidak boleh terlepas dari pendidikan tinggi.
Beliau berkata, UKM mengambil tanggungjawab ini secara serius dengan melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, tetapi, juga semangat dan jati diri yang tinggi.
“Sebagai institusi pendidikan tinggi, UKM menjalankan tanggungjawabnya untuk mencapai aspirasi rakyat dan negara. Pada konvokesyen pertamanya pada tahun 1973, hanya 168 graduan bergraduasi, namun, hari ini, UKM berjaya mendidik lebih daripada 222,197 pelajar yang aktif menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai sektor, sama ada dalam sektor awam atau swasta.
“Kita juga dapat melihat betapa jauhnya perjalanan universiti watan ini sejak majlis Senat UKM bersidang buat pertama kalinya pada 16 Jun 1970. Baru-baru ini, satu lakaran sejarah tercipta apabila ahli senat bersidang untuk kali ke-500.
“Ini adalah bukti komitmen dan usaha yang berterusan UKM menjalankan amanah pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta menguruskan pentadbiran universiti demi mencapai kecemerlangan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu perpaduan negara, beliau berkata, bulan Ogos adalah bulan yang penuh bermakna bagi rakyat Malaysia.
Katanya, ia bukan sahaja merupakan bulan kemerdekaan negara, tetapi juga bulan yang meningkatkan keharmonian dan kebersamaan antara masyarakat pelbagai etnik, agama, dan budaya yang membentuk negara ini.
“Pada tahun ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-66, dengan semangat perpaduan yang semakin membara dalam kalbu setiap warganegara. Bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, ia selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.
“Semangat perpaduan ini juga menjadi aspirasi kepada warga UKM. Universiti watan ini tidak hanya memberi tumpuan kepada perkembangan akademik semata-mata, tetapi juga menghargai nilai-nilai sejarah dan kebudayaan negara,” katanya.
Beliau berkata, proses penubuhan universiti keramat ini adalah satu perjalanan yang tidak mudah kerana ia melibatkan semangat kesedaran, kebangkitan, penghargaan terhadap Bahasa Melayu dan komitmen untuk membangunkan identiti kebangsaan.
“Pada zaman penjajahan British, langkah pertama diambil untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai wadah untuk menyuarakan identiti dan perjuangan masyarakat Melayu.
“Ketika kemerdekaan Malaysia diraih pada 31 Ogos 1957, semangat untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semakin membara. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajian di UKM menjadi simbolik penghormatan kepada perjuangan yang berlangsung selama ini,” katanya.-UTUSAN
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 33651