Debat Perdana Madani jana idea jayakan Malaysia Madani

2023 09 12 liputan 05

Mohamed Khaled melancarkan Debat Perdana Madani 2023 di UKM, Bangi pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sumber : Sinar Harian

BANGI – Kerajaan Perpaduan tidak hanya mahu dikenali sebagai kerajaan yang sederhana, tetapi mahu dikenang sebagai era pemerintahan baharu yang mengutamakan kebajikan rakyat melalui beberapa pendekatan terancang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Debat Perdana Madani adalah salah satu cara dan pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyumbang dalam menjayakan Malaysia Madani.

Menurut Mohamed Khaled, secara asasnya, terdapat beberapa dimensi penting yang menjadi penegasan kerajaan dalam menganjurkan Debat Perdana Madani.

“Pertama, Malaysia Madani bukan sahaja mengenai sistem nilai yang unggul atau idea besar. Lebih utama, ini adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanah air.

“Sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana Madani adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsi kepada negara.

“Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanah air,” katanya ketika melancarkan program Debat Perdana Madani 2023 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Isnin.

2023 09 12 liputan 06
Mohamed Khaled (kanan) meninjau reruai ketika Program Debat Perdana Madani 2023 di UKM, Bangi. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mohamed Khaled berkata, bagi pihak KPT, Debat Perdana Madani adalah satu projek negara yang memfokuskan penjanaan idea dan buah pandangan kerana tanpa idea dan buah pandangan pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara akan berjaya.

“Kedua, Debat Perdana Madani adalah pentas kerajaan memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia Madani,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Debat Perdana Madani adalah satu program yang akan dianjurkan KPT setiap tahun sebagai usaha memastikan gagasan Malaysia Madani benar-benar difahami dan berjaya dilaksanakan.

“Seperti yang didengar daripada pembentangan dibuat ahli panel dan cendekiawan jemputan tadi, kita percaya kita perlu pastikan negara berjaya serta dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera,” katanya.

2023 09 12 liputan 07

Ahli panel jemputan meluahkan pendapat ketika Debat Perdana Madani 2023 di UKM, Bangi pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Terdahulu, pembentangan sesi pagi menampilkan Dekan College of Islamic Studies, Hamad Bin Khalifa; Dekan Qatar University, Profesor Dr Recep Senturk; Guru Besar Politik Islam Global, Universitas Islam Negeri Jakarta, Syarif Hidayatullah dan Profesor Dr M Din Syamsuddin serta Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh.

Manakala Forum Malaysia Madani, Merealisasikan Negara Madani: Cabaran Dalam Malaysia Yang Majmuk menampilkan Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma; Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Harris Zainul; Profesor Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Khairudin Aljunied dan Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr P Sivamurugan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 27250
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim