UMP kini dikenali sebagai UMPSA

2023 09 12 liputan 04

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin memegang plakad nama dan penjenamaan baharu UMPSA. - Foto UMPSA

Sumber : Berita Harian

PEKAN: Seiring usia 21 tahun kewujudan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menelusuri kegemilangan, universiti itu kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 14 April 2023 yang lalu.

UMPSA bermula dengan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), iaitu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-16 diwartakan pada 16 Februari 2002.

Setelah lima tahun beroperasi, kerajaan mengumumkan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuatkuasa mulai 1 Februari 2007.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, penjenamaan UMPSA bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.

Beliau berkata, walaupun sudah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya.

"Penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara," katanya.

Yuserrie berkata, kebolehpasaran graduan UMP membanggakan apabila mencapai 98.67 peratus dan antara tertinggi di Malaysia.

"Penjenamaan itu juga akan membina visibility (keterlihatan), reputasi dan keupayaan universiti seiring dengan perkembangan serta pencapaian universiti yang diiktiraf dunia.

"Selain itu, universiti berkenaan menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi di negara ini.

"Sebagai sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. Program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia," katanya.

Dalam bidang penyelidikan, Yuserrie berkata, universiti itu memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan untuk manfaat masyarakat seiring slogan 'Teknologi untuk Masyarakat'.

"Kita turut memperkukuh hubungan baik menjangkau usia 13 tahun hasil jalinan kerjasama akademik antara UMPSA dan HKA bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan teknikal negara dalam program ijazah dual di bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal bagi melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini termasuk Program Kejuruteraan Perniagaan akan bersama Mannheim University of Applied Sciences dan lain-lain. Selain Jerman dan Kazakh National Agrarian University, program Ijazah dual kini diperluas ke China dan pada tahun ini seramai 46 pelajar mengikuti program di Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal ini bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.

"Universiti ini turut bekerjasama dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU), LiuZhou Railway Vocational Technology College Guangxi, China (LZRVTC), Baotou Railway Vokasional & Technical College dan lain-lain, manakala program baharu membabitkan kerjasama dengan Fakulti Komputeran dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam bakal diterokai institusi di Korea Selatan termasuk bersama Hanyang University ERICA.

"Kolaborasi universiti dengan pihak industri sebagai rakan sinergi pastinya mampu memperkasa bidang TVET dalam memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan teknologi dan inovasi. Pastinya penjenamaan UMPSA ini akan terus melestari kegemilangan universiti ke arah universiti teknologi terunggul di persada dunia," katanya.

Beliau juga berkata, pada yang sama UMPSA sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip kelestarian.

"Hasil komitmen warga UMPSA berjaya mencapai kedudukan sebaris dengan universiti terbaik dunia apabila tersenarai di kedudukan 201-250 di dunia dalam Times Higher Education Young University Rankings 2023 (THE Young) yang menyenaraikan universiti terbaik dunia bagi universiti berumur 50 tahun atau lebih muda baru-baru ini.

"Lain-lain universiti juga tersenarai di kedudukan 801-1000 bagi penarafan Times Higher Education World University Rankings (THE WUR) 2023 dan tangga ke-201-250 dalam 2023 Times Higher Education (THE) World University Rankings Asia. Universiti ini turut melakar kejayaan pada tahun lalu apabila tersenarai di kedudukan 301-400 dalam 2023 Times Higher Education Impact Rankings (THE Impact)," katanya.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 23266
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 12 Julai 2024, 03:02:21.