Empat teras dibahas dalam Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan

2023 09 12 liputan 08

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin ketika Sesi Penggulungan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OGOS 2023.

Sumber : Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat teras perbahasan dibawa dalam Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 yang berlangsung sejak semalam.

Empat teras berkenaan adalah ekonomi, kebajikan, pemerkasaan dan pembangunan mahasiswa serta pengantarabangsaan.

Seramai 187 perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) terlibat dalam persidangan kali ini.

Daripada jumlah itu, 35 daripada 71 perwakilan Parlimen Mahasiswa yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan telah menyampaikan usul dan cadangan masing-masing.

Antara cadangan-cadangan yang disuarakan oleh perwakilan terlibat adalah mewujudkan dasar penempatan mahasiswa dan pemerkasaan inisiatif pembangunan bakat ke arah melahirkan mahasiswa kalis masa depan.

Cadangan ketiga adalah mewujudkan pelan tindakan ekonomi gig siswa dan keempat saranan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyampaikan ucapan penggulan memberi jaminan bahawa semua pandangan dan saranan yang disuaraka akan diberikan perhatian oleh kementerian.

“Ini adalah salah satu perkembangan yang baik. Kita mahu golongan mahasiswa terlibat secara terus dan aktif dalam bersama-sama memberi saranan serta idea bagi membangunkan pendidikan tinggi yang lebih berkualiti,” katanya.

Jelas beliau, hasrat utama penganjuran program ini adalah untuk membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) menyuarakan dan membahaskan secara intelektual dan berhemah.

“KPT sentiasa berlapang dada untuk mendengar saranan, kritikan dan pandangan yang dikemukakan oleh semua mahasiswa.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk meneliti kesesuaian saranan yang dikemukakan dan menambah baik segala dasar dan inisiatif yang ada demi bersama-sama meningkatkan kualiti dan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara,” tambah beliau.

Program Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 buat pertama kali diterajui PT ini melibatkan 187 perwakilan MPPK, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa daripada pelbagai IPT seluruh negara.

Antara IPT yang terlibat adalah 20 Universiti Awam (UA), 13 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), 12 Politeknik, masing-masing empat daripada Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Guru Malaysia.

Sebagai rekod, usul-usul yang diutarakan pada program ini akan diangkat sebagai agenda perbincangan Mesyuarat Perdana MPPK bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hujung tahun ini. – MalaysiaGazette

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 28029
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim