SIARAN MEDIA
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MEWAKILI MALAYSIA
KE SIDANG KEMUNCAK KE-11 KUMPULAN LAPAN NEGARA
MEMBANGUN ATAU D-8 DI KAHERAH, MESIR
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun atau D-8, dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Kaherah, Mesir bermula 18 dan 19 Disember 2024. Tema Sidang Kemuncak kali ini ialah ‘Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow's Economy’.
D-8 yang ditubuhkan di Istanbul, Turki pada 15 Jun 1997 merupakan sebuah kumpulan negara-negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Bagi Sidang Kemuncak yang akan berlangsung di Kaherah kali ini, Dr Zambry dijangka akan memberi Kenyataan Menteri di Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-21 yang akan diadakan pada 18 Disember 2024. Seterusnya, pada 19 Disember 2024, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 dan juga Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga akan dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan D-8 termasuk Presiden Mesir, Presiden Indonesia, Presiden Iran, Presiden Turki dan Perdana Menteri Pakistan.
Dr Zambry dijangka akan menyampaikan polisi dan inisiatif negara dalam meningkatkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan belia Malaysia bagi memacu dan meningkatkan ekonomi negara, dan berkongsi pandangan Malaysia dalam mengukuhkan lagi peranan D-8 dalam meningkatkan sosio-ekonomi Negara-negara Anggota, serta cadangan kerjasama yang boleh dijalinkan dan ditingkatkan dalam kalangan negara D-8 di pelbagai peringkat.
Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala juga akan diadakan bersama dengan wakil Negara-negara Anggota D-8 yang lain di sela-sela Sidang Kemuncak tersebut.
Kementerian Pendidikan Tinggi
18 Disember 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 244