SIARAN MEDIA
SIDANG KEMUNCAK D-8 BERTEMAKAN PEMERKASAAN BELIA; KPT TAWAR KEPAKARAN AKEPT KEPADA NEGARA ANGGOTA
Saya telah hadir ke Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri D-8 ke-21 di Kaherah, Mesir yang turut disertai oleh kesemua wakil Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun atau D-8. Oleh kerana Menteri Luar Negeri, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Hasan mempunyai tugasan rasmi lain pada tarikh yang sama, saya diminta oleh Kerajaan untuk mewakili Malaysia menyampaikan kenyataan pada mesyuarat ini.
Sidang Kemuncak ke-11 D-8 kali ini membawa tema “Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy”. Malaysia menyokong penuh Deklarasi Kaherah yang mengangkat tema ini untuk dibincangkan tentang hala tuju serta perancangan Kumpulan D-8 untuk golongan belia.
Selaras dengan tema sidang kemuncak ini, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan memperkasakan belia. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan platform latihan komprehensif melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT) kepada kumpulan ahli akademik, pemimpin pelajar, belia, profesional, usahawan pengurusan kanan dan pertengahan bagi membangunkan kapasiti kepimpinan, membina keupayaan, dan meningkatkan kemahiran pengurusan. Dengan ini Malaysia menawarkan kepada semua Negara Anggota D-8 untuk menyertai program di AKEPT.
Malaysia juga berbesar hati untuk mengalu-alukan Republik Azerbaijan sebagai ahli terbaharu dalam Pertubuhan D-8. Kami percaya penyertaan Republik Azerbaijan dalam D-8 akan memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan.
Pada Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga, Mesir turut menganjurkan Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan. Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap penerimaan bersama untuk menyelesaikan situasi genting di Palestin, Lubnan, dan negara-negara jiran yang terkait.
Hari seterusnya nanti, saya akan memberi Kenyataan Negara di Sidang Kemuncak ke-11 D-8, serta Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
Pada sela-sela masa, saya telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama dengan Menteri Luar Republik Iran; Setiausaha Agung Kumpulan Negara D-8; Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh; Menteri Luar Pakistan; dan Menteri Luar Mesir. Kesemuanya menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang.
Kementerian Pendidikan Tinggi
19 Disember 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 507