logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT LANTIK 3 SARJANA SANDANG KURSI AKADEMIK LUAR NEGARA


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan tiga (3) orang sarjana sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua (2) tahun mulai 1 Disember 2025. Mereka ialah Prof. Dr. Shahanum binti Md. Shah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat; Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand; serta Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati binti Zahid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University, China.

Pertama, pelantikan Prof. Dr. Shahanum binti Md. Shah, 60, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menzahirkan pengiktirafan terhadap kepakaran beliau sebagai sarjana terkemuka dalam bidang pendidikan muzik. Beliau berkelulusan Doktor Falsafah dalam Pendidikan Muzik (Ethnomusicology and Administration) dari Indiana University, Amerika Syarikat pada tahun 2000 dan pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk Penolong Naib Canselor Kolej Seni Kreatif (2022–2024), Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Kolej Pengajian Seni Kreatif (2022) serta merupakan Dekan Fakulti Muzik yang pertama. Keupayaan akademiknya turut terserlah melalui penganugerahan National Band Figure Award (2023) dan penghasilan Graded Music Examination for Malay Traditional Music (2017) yang menjadi rujukan dalam pemartabatan muzik tradisional Malaysia.

Selain itu, beliau mempunyai pengalaman antarabangsa yang luas sebagai pengajar dan penceramah di Jepun, Korea Selatan, Denmark, United Kingdom, Macau, Indonesia dan Thailand, serta pernah mengetuai bengkel gamelan Melayu di Ohio dan North Carolina pada tahun 2011. Sejak 2009, beliau turut berkhidmat sebagai hakim pertandingan muzik di pelbagai negara dan kini menjadi panel Music Quality Enhancement Europe bagi tempoh 2024–2027. Dengan gabungan kepakaran muzik, pedagogi antarabangsa dan hubungan budaya, pelantikan beliau diyakini dapat memperkukuh usaha diplomasi pendidikan serta memartabatkan naratif seni dan identiti Malaysia di Ohio University.

Seterusnya, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, 51, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membawa pengalaman luas dalam bidang dasar awam dan etnik. Beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM sejak tahun 2015 dan memiliki ijazah Doktor Falsafah dalam Law, Policy and Society dari Northeastern University, Amerika Syarikat. Kepakarannya diperkukuh melalui penglibatan sebagai perunding bagi pelbagai inisiatif perpaduan kebangsaan serta jemputan sebagai penceramah dan pembicara utama di Amerika Syarikat, Jerman, Switzerland, China, United Kingdom, Indonesia dan Perancis.

Di samping itu, beliau pernah dilantik sebagai Country Consultant for Malaysia for the United Nations Entity for Gender Equality and the Empowerment of Women pada tahun 2014, menghasilkan sembilan (9) buah kertas dasar nasional serta terlibat sebagai konsultan dalam pelbagai projek berkaitan dasar awam. Beliau turut menjadi komentator dalam dan luar negara termasuk BBC, Al Jazeera, Channel News Asia dan South China Morning Post. Sehubungan itu, KPT yakin pelantikan beliau akan memperkukuh peranan Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington sebagai medium diplomasi intelektual yang memartabatkan naratif Malaysia dan Nusantara dalam wacana global.

Akhir sekali, Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati binti Zahid, 59, yang kini menjawat jawatan Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), merupakan tokoh yang berpengaruh dalam bidang fonologi dan pengajian Melayu. Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Fonologi daripada UM pada tahun 2003 dan dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024. Pengalaman beliau sebagai pensyarah dan profesor pelawat di China, Rusia dan Indonesia turut mengukuhkan kedudukannya sebagai sarjana yang berperanan penting dalam memperluas pengaruh Pengajian Melayu di luar negara.

Lebih penting lagi, beliau memainkan peranan strategik dalam penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS– UM di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou. Pelantikan beliau turut menerima perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaras dengan penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim sejak tahun 2024. Dengan jaringan akademik yang kukuh di China serta kepakaran mendalam dalam bidang pengajian Melayu, beliau diyakini mampu memperluas keterlihatan bahasa dan budaya Melayu di persada antarabangsa.

Secara keseluruhannya, KPT percaya bahawa pelantikan ketiga-tiga sarjana ini akan memperkukuh pengajian Asia Tenggara, Malaysia dan Melayu di peringkat dunia serta meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penyandang Kursi Akademik Luar Negara dalam menggalas amanah untuk mengangkat nama Malaysia di pentas global.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
19 November 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - KPT Lantik 3 Sarjana Sandang Kursi Akademik Luar Negara(171 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3031
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim