logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT SEDIAKAN KEMUDAHAN PdP, AKTIFKAN BILIK GERAKAN BAGI
PENYALURAN MAKLUMAT DAN BANTUAN SUSULAN BANJIR


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memantau dengan teliti perkembangan banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sejak beberapa hari lalu berikutan hujan lebat berterusan.

Situasi banjir kali ini bukan sahaja menjejaskan kawasan bandar dan kediaman, malah turut memberi impak kepada beberapa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang dinaiki air, sekali gus menjejaskan pengoperasian premis serta pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Sebagai langkah memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga IPT, KPT memberikan kelonggaran kepada semua IPT terjejas untuk melaksanakan PdP secara dalam talian bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

Pada masa sama, bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa serta penyaluran bantuan segera, khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT.

KPT juga menyeru semua warga IPT yang terkesan agar sentiasa menjaga keselamatan diri, berada di kawasan selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta pasukan keselamatan.

Seluruh warga Kementerian mendoakan agar semua mangsa banjir di negeri-negeri terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
24 November 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - KPT Sediakan Kemudahan PdP, Aktifkan Bilik Gerakan Bagi Penyaluran Maklumat dan Bantuan Susulan Banjir(145 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1870
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim